Majikan disaran buat ujian saringan sebulan sekali – Saravanan

0
2

MAJIKAN atau pemain industri disaran kerap melakukan ujian saringan Covid-19 bagi pekerja mereka dalam usaha memastikan tempat kerja bebas wabak berkenaan sekali gus tidak menjejaskan operasi syarikat atau kilang.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata menjadi tanggungjawab pihak majikan memastikan semua pekerja mereka selamat dan bebas daripada Covid-19.

“Ini tanggungjawab majikan, kerana apabila ada kes Covid-19 mungkin operasi mereka terjejas, maka mereka perlu memastikan pekerja sihat termasuk kerap menjalankan ujian saringan.

“Kementerian cadangkan kalau boleh paling kurang pun sebulan sekali (ujian saringan),” katanya kepada media selepas pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kilang roti Gardenia di Puchong, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengetuai Operasi Pematuhan Akta 342 dan Akta 514 di Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd Puchong hari ini.

Menurutnya, kos bagi ujian saringan Covid-19 kini sudah murah berbanding ketika pandemik mula melanda negara.

“Sekarang sudah ada pelbagai jenis alat saringan yang harganya juga sudah turun berbanding mula-mula PKP dilaksanakan.

“Jadi belanjakanlah sedikit daripada keuntungan untuk sama-sama selamat,” katanya.

Mengulas pematuhan SOP membabitkan sektor perindustrian, beliau berkata sebanyak RM1.2 juta kompaun dikeluarkan pihaknya terhadap pihak kilang yang tidak mematuhi SOP kesihatan dan sebagainya.

Menurutnya, setakat ini 1,175 pemeriksaan dijalankan sejak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah Kementerian Sumber Manusia diturunkan kuasa untuk menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) berkuatkuasa 1 Jun lalu.

“Operasi ini akan diteruskan di seluruh negara dan pemain industri diingatkan supaya mematuhi SOP dan syarat kelulusan yang diberikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Dua kesalahan sering dikesan iaitu tidak mematuhi kapasiti pekerja yang dibenarkan iaitu hanya 30 hingga 40 peratus dan kes walaupun bukan dalam kategori keperluan tetapi memalsukan dokumen dan memberi maklumat palsu untuk dapatkan kelulusan,” katanya.

Terdahulu beliau berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP di kilang roti Gardenia berkenaan dan berharap ia menjadi contoh kepada kilang-kilang lain dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 dalam sektor perindustrian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here