PASUKAN Polis Marin Pulau Pinang merampas 1,350 karton rokok yang disyaki tidak mempunyai cukai kastam, dengan anggaran nilai barangan RM214,000 di Taman Cendana Permai, Bukit Tengah, Pulau Pinang, semalam.
Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran rokok tidak bercukai berkenaan.
Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Superintendan Shoppri Saad berkata bertindak atas maklumat risikan, pihaknya yang membuat pemantauan berterusan di Taman Cendana Permai mengesan seorang lelaki sedang memunggah sejumlah kotak di bahagian belakang sebuah kenderaan.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai sejumlah kotak rokok disyaki tidak bercukai kastam.
“Dalam serbuan itu, 1,350 karton rokok disyaki tidak mempunyai cukai kastam dirampas dan turut dirampas sebuah kenderaan jenis Nissan NV200 dipercayai digunakan sindiket tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM274,000 dan kesemua barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.
“Pasukan Polis Marin Wilayah Satu komited dalam membanteras kegiatan pengedaran rokok tidak bercukai dan akan sentiasa meningkatkan pengoperasian dan memperketatkan pengawalan terutamanya di perairan negara.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat tentang kegiatan atau aktiviti menyalahi undang-undang di persisiran pantai dengan menghubungi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu di talian 04-6558222,” katanya. – Malaysiapost

