Kebun sayur, rumah kongsi curi air diserbu

0
2

PIHAK berkuasa mengesan kegiatan mencuri air atau menggunakan bekalan air secara tidak sah melibatkan sebuah tapak kebun sayur dan rumah kongsi di Klang.

Kegiatan itu dikesan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hasil maklumat risikan.

SPAN menerusi kenyataan berkata siasatan di lokasi terbabit menemui satu sambungan paip tanpa menggunakan meter yang disyaki digunakan bagi tujuan kegunaan kebun dan rumah kongsi.

Sehubungan itu, katanya, pemotongan bekalan air yang diperoleh secara tidak sah dilakukan serta-merta.

“Pengusaha kebun sayur dan penghuni rumah kongsi yang bertanggungjawab akan dipanggil untuk memberi keterangan dan berdepan tindakan perundangan,” kata kenyataan itu.

Menurut SPAN, pihaknya sentiasa komited menjalin kerjasama berterusan bersama operator bekalan air bagi mencegah aktiviti penyambungan yang menyalahi undang-undang hingga menyumbang kepada kadar Non- Revenue Water (NRW).

“Kesalahan membuat penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang dari sesalur utama awam boleh disiasat di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here