Nurul Huda Abhar
BEKAS peserta Program Mimbar Pencetus Ummah (PU), PU Rahmat atau nama sebenarnya Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan memaklumkan menerima jemputan daripada bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyertai parti baharunya.
Menerusi hantaran di laman Twitter, Rahmat turut meminta pandangan pengikutnya mengenai penubuhan parti khusus untuk anak muda tersebut.
“Saya dan beberapa anak muda telah dijemput Syed Saddiq untuk menyertai parti politik baru yang berasaskan anak muda.
“Apa pandangan Twiterjaya tentang penubuhan parti anak muda? Lai lai (mari) komen,” tulisnya hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Muar itu memaklumkan mahu menubuhkan satu parti baharu untuk pelbagai bangsa dan keutamaan diberikan kepada generasi muda.
Parti yang dikatakan diberi nama ‘Muda Malaysia’ diwujudkan atas faktor memastikan suara dan kebimbangan golongan tersebut didengari.
Hantaran tersebut menerima 1,346 tanda suka dan 438 ulangan ciap, rata-rata pengikutnya mempunyai pandangan sendiri mengenai tawaran daripada Syed Saddiq itu.
“Saya tidak risau dengan penubuhan parti baru. Cuma ingat nak mengejar permodenan, agama jangan tinggal. Jika parti ini tertubuh banyak benda perlu diselesaikan,” tulis Irfan_newboys.
“Dari satu sudut, untuk test market mungkin boleh. Cuma untuk jangka Panjang, saya rasa parti baru lebih-lebih lagi hanya dianggotai oleh orang muda mungkin sukar nak survive. Kalua betul minat politik masuk je mana-mana option parti yang ada sekarang dan buatlah perubahan,” kata Ilani.
“Kalau parti bertunjangkan perjuangan Tun M maka tiada beza. Hanya membazir waktu,” kata Brunoozilla.
“Kenapa nak pandangan lain? Nak join, join je. Tak nak senyum ucap terima kasih, tak payah join. Hak anda sebagai rakyat Malaysia yang boleh berfikir.” Kata Hafeez3103. – Malaysiapost

