Akuan bersumpah: Siapa lagi yang berebut jadi PM?

0
2
isham jalil

Isham Jalil

BEBERAPA hari kebelakangan ini timbul semula cerita berkenaan kerjasama antara Umno dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Ini adalah percubaan pihak-pihak tertentu untuk mengalihkan tumpuan kepada Umno di kala pihak tertentu tersebut (PPBM dan kerajaan PN dan penyokong mereka) yang sebenarnya sedang huru hara.

Siapa yang kata Umno ingin bekerjasama dengan DAP dan jadikan Anwar sebagai PM?

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah berkali-kali menafikan perkara ini.

Saya pasti Zahid tentunya tahu jika dia angkat Anwar jadi PM, dia pun besar kemungkinan tidak akan bertahan lama sebagai Presiden Umno.

Dia tahu akar umbi Umno akan tolak Anwar. Zahid sudah lama dalam politik, dia bukanlah tidak cerdik.

Dan setahu saya yang dilaporkan pernah berkata bahawa tidak mustahil untuk Umno bekerjasama dengan DAP adalah Tan Sri Annuar Musa, dan dia kini penyokong kuat kerajaan PPBM.

Umno terutama di akar umbi tidak akan sokong Anwar untuk jadi PM dan tidak akan bekerjasama dengan DAP, saya sudah nyatakan perkara ini berkali-kali sebelum ini.

Jika sesiapa waima Anwar ingin Umno sokong dia sebagai PM, dia perlu masuk Umno semula dan mungkin kita pertimbang.

Jika mana-mana parti seperti PKR, PAN waima DAP ingin sokong Umno walaupun kita tidak sokong mereka, itu terpulanglah kepada mereka, kita tidak boleh halang siapa yang mereka mahu sokong, itu hak mereka.

Sebagaimana mereka pun tidak boleh halang siapa yang kita mahu sokong.

Sebelum ini DAP pernah sokong PPBM dan PAS. Dan PPBM dan PAS pun pernah sokong DAP. Namun Umno tidak pernah dan tidak akan sokong DAP.

DAP pun tidak bersaing di kerusi-kerusi Umno, oleh itu tidak ada kesan pun kepada Umno dan DAP dari segi pembahagian kerusi.

Apa yang penting ialah Umno tidak boleh lagi jadi pak sanggup kepada parti lain yang ingin menggunakan Umno sebagai batu loncatan untuk jadi PM.

Cukuplah pengalaman kita dengan PPBM sekarang.

Umno dengan akar umbi yang terbesar di Malaysia perlu menjadi tunjang untuk kestabilan negara ini.

……..

Ada juga khabar angin yang mengatakan bahawa Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempunyai 25 tandatangan akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya untuk jadi Perdana Menteri.

Ada pula yang kata akuan bersumpah (SD) ini adalah untuk menolak Anwar dari jadi Perdana Menteri.

Ada dua perkara yang tidak masuk akal di sini.

Pertama, jikapun benar Hishamuddin ada 25 ahli Parlimen BN yang menyokongnya untuk jadi PM, masih ada 17 lagi ahli Parlimen Umno yang tidak menyokongnya.

Maksudnya, jika pun semua Ahli Parlimen PPBM, PAS waima Warisan dan Pejuang pun menyokongnya, dia masih lagi tidak cukup Ahli Parlimen untuk jadi Perdana Menteri tanpa 17 Ahli Parlimen Umno yang tidak menyokongnya tersebut.

Oleh yang demikian, 25 SD tersebut tidak akan menjadikannya PM, dan besar kemungkinan dia tidak akan dapat kesemua 42 ahli Parlimen BN untuk menyokongnya, terutama jika dia perlu bekerjasama dan melantik Azmin sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk meraih sokongan PPBM.

Umno terutamanya di akar umbi rata-rata tidak akan terima Azmin dan sesiapa sahaja yang bekerjasama dengan Azmin.

Oleh itu, jika betul ada orang kutip SD untuk Hishammuddin, ia hanyalah membuang masa dan hanya menyebabkan kekeruhan di dalam Umno yang sememangnya suka dilihat oleh PPBM sekarang.

Kedua, kenyataan bahawa kutipan tandatangan SD itu dibuat untuk menolak Anwar dari menjadi PM adalah tidak masuk akal.

SD ditandatangani untuk menyatakan sokongan, bukan untuk menolak sokongan.

Belum pernah lagi Ahli Parlimen persembah SD kepada YDP Agong untuk menolak sokongan kepada seseorang.

Yang ada adalah kemungkinan sesetengah Ahli Parlimen tandatangan beberapa SD untuk menyokong beberapa orang.

Oleh itu tandatangan SD menyokong seseorang tidak bermaksud menolak orang lain, sebab Ahli Parlimen boleh tandatangan seberapa banyak SD yang mereka suka.

Sebab itu siapa yang kata dia ada sekian-sekian cukup jumlah SD itu tidak lagi boleh dipercayai sangat sekarang.

Kerana sebahagian daripada 25 orang yang tandatangan SD untuk Hishammuddin itu mungkin juga tandatangan SD untuk orang lain (atau untuk Anwar juga wallahu’alam).

……..

Saya harap kerajaan dan menteri-menteri agar memberi tumpuan kepada pembukaan Parlimen secepat mungkin seperti yang dititah oleh YDP Agong dan Majlis Raja-raja supaya kita dapat berbincang tentang dasar-dasar dan keputusan-keputusan yang lebih baik untuk menyelesaikan wabak Covid-19 ini dan untuk memberi bantuan kepada rakyat yang sedang susah sekarang.

Di kala anda yang kaya raya dan gaji berpuluh ribu sebulan berebut-rebut untuk jadi Perdana Menteri, ramai rakyat yang hilang kerja, tidak makan dan bunuh diri. Fikirkanlah soal mereka juga.

Untuk menukar dasar, mungkin kita perlu tukar menteri dan Perdana Menteri yang gagal dan berprestasi rendah. Tapi apa-apapun bukalah Parlimen dahulu.

.
Penulis ialah Ketua Penerangan BN Selangor
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here