Rentas negeri tak salah, individu tidak jaga SOP salah-Pengarah Kesihatan Terengganu

0
2

PENGARAH Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus menyifatkan aktiviti rentas negeri tidak salah namun tindakan segelintir individu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan berlakunya penularan Covid-19.

Dr Nor Azimi berkata, urusan rentas negeri sekiranya diuruskan dengan baik boleh mengelakkan penularan tetapi keadaan sebaliknya jika individu terbabit tidak mematuhi peraturan termasuk menganggap keputusan negatif ujian kali pertama sebagai membuktikan dirinya bebas wabak.

Beliau berkongsi kes penularan di Terengganu yang berpunca apabila seorang pekerja dari Selangor diberi keizinan pulang ke negeri itu untuk melawat ibunya yang sakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Kebetulan beliau merupakan kontak rapat kepada kawan sekerja yang disahkan positif. Beliau pulang selepas ujian RTK-Ag yang dibuat di klinik swasta negatif.

“Banyak orang salah faham bila ujian pertama negatif. Saya pernah sebut banyak kali, ujian pertama negatif tidak bermaksud kita telah bebas dari Covid 19 apalagi kalau kita adalah kontak rapat kes positif. Ujian ulangan mesti dibuat.

“Adik beradik beliau dari beberapa negeri pun pulang sama dan berhimpun di sebuah homestay di Kuala Terengganu. Pematuhan SOP pasti sukar. Enam hari selepas ujian pertama beliau mula tidak sihat. Ujian RTK-Ag didapati reaktif dan ujian PCR juga positif pada 22 Jun,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, beliau berkata, saringan kontak rapat telahpun mengesan enam ahli keluarga pesakit itu positif.

“Bagaimana dengan mereka yang berjumpa dengan beliau atau kontak sosial lain? Seminggu adalah masa yang lama untuk menjangkiti ramai orang lain,” jelasnya.

Beliau menambah, begitu juga kisah kedua, iaitu seorang suami telah pulang ke Kelantan dengan keizinan pada 12 Jun untuk melawat ayahnya yang tenat dan ketika di sana berkumpul bersama ahli keluarga serta jiran.

“Dua hari kemudian, ayah kes meninggal dunia dengan keputusan Covid 19 positif. Kes tinggal serumah bersama tiga warga emas (ibu, nenek dan moyang) dan lima anak.

“Kes disahkan positif semasa saringan di Klinik Kesihatan. Beliau juga telah menjangkiti ibu, nenek, moyang dan 3 anak. Kesemua mereka ini merupakan golongan yang patut dilindungi,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes terbabit adalah pulang untuk ziarahi ibu bapa yang sakit.

“Alasan yang munasabah. Cuma bila kita dari atau pergi ke zon merah kita kena lebih berjaga-jaga kerana risiko jangkitan tinggi bila berada di zon merah. Jangan pandang remeh potensi jangkitan Covid 19.

“Walaupun kisah rentas negeri yang membawa penularan kes dalam famili sering dikongsi, tapi nampaknya masyarakat tak ambik peduli. Mungkin orang tak suka baca nasihat begini,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang Mei dan Jun, pihaknya telah mengesan seramai 398 kes import B iaitu kes mempunyai sejarah rentas negeri.

“Kemudian ada aktiviti berhimpun sebab kenduri kendara, majlis sosial termasuk kematian atau majlis raya atau majlis lain. Tiada pula pematuhan SOP maka terhasil lah pelbagai kluster dalam komuniti. Kluster berhimpun dalam komuniti punca merebaknya Covid 19 di Terengganu.

“Semoga kita semua terus berikhtiar melalui pematuhan SOP, mendapatkan suntikan vaksin dan berdoa supaya situasi Covid 19 di Terengganu kekal terkawal,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here