Sukarelawan OKU juga terima kenaikan elaun RM100 – PM

0
2

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  mengumumkan sukarelawan orang kurang upaya (OKU) akan turut menikmati kenaikan kadar elaun harian RM100, sebagaimana sukarelawan kesihatan lain bermula hujung bulan ini. 

Beliau berkata, proses vaksinasi golongan OKU bukanlah suatu tugas yang mudah kerana sifat atau tidak balas mereka yang tentunya berlainan daripada biasa. 

“Kesabaran petugas kesihatan dan sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) OKU ini dalam mendepani karenah mereka amat dihargai,” katanya menerusi Facebook. 

Muhyiddin memaklumkan kehadiran beliau ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) OKU-pandu lalu pertama di dalam negara itu adalah bagi meninjau proses pemberian vaksin kepada komuniti OKU. 

“PPV OKU-pandu lalu dikendalikan OKU Sentral ini dibuka khas untuk membantu ahli komuniti OKU menerima suntikan vaksin mengikut kesesuaian dan keadaan mereka dengan dibantu oleh sukarelawan OKU yang berpengalaman berurusan dengan komuniti OKU,” katanya 

Beliau turut memuji inisiatif PPV itu dengan menyediakan bilik bertenang atau ‘calm room’ dilengkapi permainan dan alunan muzik juga adalah inisiatif yang amat baik dalam membantu “menenangkan” anak-anak OKU tersebut. 

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha kerajaan dengan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta amat diperlukan dalam memastikan rakyat tanpa mengira latar belakang mendapat suntikan vaksin Covid-19. 

“Alhamdulillah sehingga 20 Jun 2021, sebanyak 280,904 daripada 579,150 individu OKU berdaftar di bawah sistem maklumat OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat telah pun mendaftar dengan MySejahtera untuk menerima vaksin Covid-19. 

“Daripada jumlah itu, sebanyak 15,914 individu telah menerima dos pertama manakala kira-kira 4,000 individu telah menerima dos kedua. 

“Saya amat berbangga dengan kesedaran ahli keluarga dan penjaga kepada individu OKU tentang ancaman virus Covid-19 serta menghargai sokongan mereka terhadap program imunisasi Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here