Hentikan naratif menipu rakyat – Najib

0
3

NARATIF “lockdown berjaya sebab kes Covid-19 tidak sampai 13,000” bukan sahaja memperbodohkan diri sendiri, malah menipu dan mempermainkan rakyat, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau melihat ada juga penyokong kerajaan yang termakan naratif tersebut.

Jelasnya, matlamat lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bukan bergantung kepada kejayaan ke atas kes baharu yang tidak mencapai 13,000.

“Lagipun, angka 13,000 ini adalah unjuran graf Kementerian Kesihatan (KKM) yang telah dinaikkan tiga kali dalam masa sebulan dari 3,000 ke 5,000 ke 9,000 dan akhirnya ke 13,000,” katanya menerusi Facebook.

Justeru beliau berkata, kerajaan perlu kembali kepada matlamat asas dan tujuan kenapa terpaksa melaksanakan lockdown.

“Iaitu pertama untuk melegakan penggunaaan Unit Rawatan Rapi (ICU) yang telah melepasi kapasiti dan kedua untuk putuskan rantaian Covid-19 supaya rakyat boleh bebas dan kembali mencari rezeki,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua matlamat asas itu tetap gagal dan jauh dari tercapai walaupun sudah 46 pelaksanaan PKP 3.0 dan 24 hari untuk Total Lockdown .

Oleh demikian, katanya, adakah angka 5,841 kes baharu hari ini atau jumlah 83 kematian semalam merupakan satu angka rendah yang mencapai kedua-dua matlamat asas lockdown?

“Jadi, apa sebenarnya pencapaian dan hasil pengorbanan 46 hari frontliners dan rakyat ini?,” soalnya.

Beliau berkata, kerajaan perlu memahami bahawa rakyat perlu diutamakan bukan kepentingan sendiri.

“Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Faham?,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengatakan Malaysia berkemungkinan berdepan kes positif harian lebih 13,000 pada 14 Jun lalu sekiranya PKP 3.0 tidak dilaksanakan.

Katanya, kejayaan melaksanakan PKP 3.0 hanya menyaksikan kira-kira 4,900 kes berbanding jangkaan terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here