Kerajaan lulus lesen penghasilan produk solar kepada syarikat China

0
3

KERAJAAN meluluskan Lesen Pengilang dan Galakan Insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kepada sebuah syarikat berpangkalan di China.

Ia bagi aktiviti rekabentuk, pembangunan dan pengilangan solar cells dan solar module di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM42.2 bilion.

Kelulusan itu diberikan kepada syarikat Risen Energy Co Ltd, sebuah syarikat pengeluar kelima terbesar dunia bagi penghasilan solar module.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan mengenai perkara itu selepas mesyuarat secara maya bersama pengerusi syarikat berkenaan, Xie Jian, hari ini.

Mesyuarat itu turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman.

Muhyiddin berkata, syarikat berpengkalan di China itu melalui Risen Solar Technology Sdn Bhd telah diluluskan lesen berkenaan untuk tempoh pelaburan selama 15 tahun.

“Insya-Allah, pelaburan untuk tempoh 15 tahun hingga 2035 ini dijangka menjana 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

“Syarikat itu akan menjalinkan kerjasama dengan universiti dan institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk pengambilan pelajar secara internship.

“Saya yakin kehadiran Risen Solar ini akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, ketika ini terdapat beberapa syarikat pengeluar global solar seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power sedang beroperasi di Malaysia.

“Saya turut berkongsi dengan Encik Xie Jian bahawa Kerajaan Malaysia mengamalkan prinsip mesra pelaburan dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu dan berkualiti ke negara ini.

“Pelbagai galakan dan insentif disediakan kepada pelabur dan bakal pelabur dan menegaskan akan memastikan pelaksanaan projek yang telah dirancang oleh syarikat tersebut berjalan dengan lancar,” katannya.

Menurutnya, pelaburan daripada syarikat Risen Energy ini merupakan satu kejayaan besar buat negara, sekaligus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi ini tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Ini pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Muhyiddin Yassin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here