Ivermectin untuk kegunaan manusia, haiwan berbeza

0
3

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan sebaran bahawa ubat jenis Ivermectin mampu merawat Covid-19 kerana ia tidak pernah didaftar dan diluluskan untuk kegunaan manusia di Malaysia.

Pakar Penyakit Berjangkit, Dr Steven Lee Chee Loon berkata, ubat Ivermectin adalah ubat cacing yang telah lama digunakan di seluruh dunia terutama di Afrika, India, dan Afrika Selatan.

“Cuma di Malaysia jarang dengar ubat Ivermectin sebab tidak pernah didaftar dan diluluskan untuk kegunaan manusia. Kita gunakan ubat cacing lain tetapi ada ubat Ivermectin lain digunakan dalam sektor haiwan sahaja.

“Jadi kena faham ubat Ivermectin untuk kegunaan manusia dan haiwan adalah berbeza,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di Facebook KKM hari ini.

Dr Steven yang bertugas di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mengakui khuatir orang awam akan membeli atau mendapatkan ubat itu daripada pihak yang tidak sepatutnya selepas tersebar ia boleh merawat Covid-19.

“Kita risau mereka termakan ubat ivermectin yang digunakan untuk haiwan. Ini akan mendatangkan kesan sampingan yang tidak sewajarnya,” ujarnya lagi.

Semalam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat laporan polis terhadap KKM susulan keengganan menggunakan Ivermectin sebagai rawatan bagi mencegah penularan Covid-19.

PPIM dalam kenyataan memaklumkan laporan itu dibuat sebagai inisiatif inklusif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam memperjuangkan hak kepenggunaan yang dilihat seakan tiada kompromi daripada pihak atasan dalam mempertimbangkan kaedah dan rawatan alternatif sebagai usaha mencegah penularan Covid-19.

Katanya, keengganan KKM mempertimbangkan keberkesanan penggunaan Ivermectin adalah satu kesalahan jenayah.

Justeru, PPIM menggesa kerajaan dan pihak KKM bersedia untuk membuat kajian lanjut dan menerima kaedah rawatan penggunaan Ivermectin kerana terbukti berkesan di beberapa negara yang kini berjaya mengurangkan jumlah kes Covid-19 serta varian baharu. – Malaysiapost

Foto Kredit: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here