Ali Daei bangga pencapaian Ronaldo

0
3

LEGENDA bola sepak Iran, Ali Daei merakamkan ucapan tahniah kepada Cristiano Ronaldo selepas menyamai rekod 109 gol antarabangsa miliknya.

Bekas penyerang yang kini berusia 52 tahun itu turut menyatakan rasa bangga rekod tersebut kini menjadi milik pemain Portugal berkenaan.

Ronaldo menyempurnakan dua sepakan penalti untuk mengikat Perancis 2-2 dalam perlawanan terakhir Kumpulan F Euro 2020 membantu Portugal mara ke pusingan 16 terbaik.

Dua gol itu membolehkan Ronaldo menghimpun 109 gol, menyamai rekod dipegang Ali Daei bersama pasukan kebangsaan Iran.

“Tahniah kepada Cristiano Ronaldo yang kini hanya satu gol untuk memecahkan rekod jaringan antarabangsa terbanyak bagi bola sepak lelaki.

“Saya berbangga kerana pencapaian luar biasa ini menjadi milik Ronaldo, juara bola sepak hebat dan insan penyayang yang menginspirasikan dan memberi impak di seluruh dunia.,” katanya menerusi hantaran di Instagramnya hari ini.

Ali Daei mengakhiri hantaran tersebut dengan menulis “Vamos!” atau ‘ayuh’.

Ronaldo memerlukan 178 penampilan untuk meraih rekod tersebut, berbanding Ali Daei yang melakukannya dalam 145 perlawanan.

Portugal akan bertemu Belgium pada pusingan 16 terbaik dengan prospek bertemu Itali di suku akhir dalam misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi 2016 di Perancis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here