Wanita Afrika Selatan tipu lahir 10 bayi kembar

0
4

DAKWAAN seorang wanita bahawa telah melahirkan 10 bayi kembar baru-baru ini ternyata hanyalah satu penipuan.

Kisah Gosiame Sithole, 37, pada mulanya mengejutkan banyak pihak selepas memberitahu dia melahirkan tujuh bayi lelaki dan tiga bayi perempuan, awal bulan lalu.

Namun begitu, timbul pertikaian apabila bapa kepada semua bayi berkenaan, Teboho Tsotetsi memberitahu dia belum bertemu dengan anak-anaknya dan menuduh Sithole menipu untuk mendapatkan duit.

Lebih menguatkan andaian bahawa kisah tersebut hanya rekaan apabila Sithole dilaporkan dimasukkan ke hospital psikiatri bagi menjalani rawatan, baru-baru ini.

Selepas beberapa minggu menjadi tanda tanya, akhirnya kes tersebut disahkan sebagai penipuan dan para doktor di Hospital Tembisa mengesahkan Sithole tidak melahirkan anak.

Pihak berkuasa Gauteng dalam kenyataan memaklumkan, Sithole dimasukkan ke Hospital Tembisa pada 18 Jun lalu bagi membolehkan beberapa prosedur rawatan dilakukan terhadapnya bagi mengenal pasti tahap kesihatan wanita itu.

“Sithole perlu dipantau selama 72 jam dan doktor sebelum itu mencadangkan supaya wanita itu dimasukkan ke hospital selama tujuh hari untuk pemantauan lanjut, selaras dengan Akta Kesihatan Mental.

“Kini, sudah disahkan bahawa Sithole tidak melahirkan anak dalam tempoh terdekat, sekali gus mengesahkan dia juga tidak hamil,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, pengarang akhbar yang pertama melaporkan berita mengenai Sithole memohon maaf kerana tidak meneliti dakwaan wanita tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here