Peluang wanita dalam politik semakin terbuka

0
3

Nurul Huda Abhar

Bidang politik kini tidak lagi dipelopori golongan lelaki sahaja, sebaliknya peluang terbuka luas buat wanita mencipta nama dengan memegang pelbagai jawatan penting peringkat parti mahupun kerajaan.

Perkara itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dira Abu Zahar yang mengakui teruja dengan perkembangan itu yang disifatkannya amat positif serta mampu mengalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang politik.

“Bidang politik adalah platform yang baik bagi wanita bekerjaya. Lagipun ramai wanita yang memegang jawatan penting dalam pelbagai institusi. Kita ada Gabenor Bank Negara wanita dan terbaharu Timbalan Speaker wanita.

“Sebenarnya terlibat dalam politik ini lebih harmoni kerana berupaya untuk bekerja bersama lelaki. Jadi mereka lebih faham dan itu satu kelebihan bagi yang memilih kerjaya dalam bidang politik,” katanya kepada Malaysia Post.

Memberi contoh pelantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dira berkata ia adalah pengiktirafan besar buat golongan wanita yang kini aktif dalam politik.

DIRA teruja dapat tahu mengenai pelantikan Datuk Seri Azalina.

“Saya sangat teruja apabila mendapat tahu mengenai pelantikan Datuk Seri Azalina. Beliau boleh menjadi contoh dan ikon kepada wanita-wanita di luar sana.

“Ini sumber inspirasi untuk wanita. Datuk Seri Azalina adalah ‘first lady’ yang menggalas jawatan Timbalan Speaker. Wanita yang menceburi bidang politik atau kerjaya lain perlu bangga dengan kebolehan wanita,” katanya.

Dira yang pernah memegang jawatan Exco Puteri UMNO pada 2015 berpendapat pencapaian Azalina itu seharusnya menjadi inspirasi buat lebih ramai wanita menyertai politik.

Beliau turut membidas stigma sesetengah pihak bahawa bekerja bersama wanita sukar kerana golongan itu lebih beremosi.

Sebaliknya anak bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Isnin itu memberitahu ia hanya alasan untuk melakukan provokasi atas keupayaan wanita berkarier.

“Tiada isu bekerja dengan wanita ini sukar sebab mereka emosional, sebenarnya itu semua tidak benar. Kini wanita mampu menjadi ketua yang baik dan hebat,” kata bekas pelakon itu yang terlibat dalam politik sejak tujuh tahun lalu.

Dira yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang menyertai Puteri UMNO pada 2013 dan kini Ketua Puteri UMNO bahagian Jasin.