Malaysia milik kita bersama

0
2

Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum yang telah berjaya mempertahankan keharmonian dan kedamaiannya sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sejak merdeka lagi, rakyat Malaysia berbilang kaum hidup dalam suasana yang aman dan harmoni. Baik Melayu, India, Cina, Kadazan, Dusun dan Murut atau apa saja etnik yang berada dalam negara ini menikmati hasil negara secara bersama.

Selaras peredaran masa, kemajuan dan perubahan Malaysia juga telah berubah seiring tuntutan zaman.

Bagaimanapun tidak dapat dinafikan, masih ada kawasan yang ketinggalan daripada arus pembangunan negara, jurang kemiskinan masih lagi wujud walaupun banyak kemajuan telah dicapai.

Pada 9 Mei 2018, Malaysia melakar sejarah barunya yang tersendiri dalam dunia politik yang menyaksikan buat pertama kalinya Barisan Nasional (BN) yang merupakan parti pemerintah sejak lebih 60 tahun tumbang kepada Pakatan Harapan (PH).

Lebih menarik lagi, PH ketika itu dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya menumbangkan Datuk Seri Najib Razak yang mengemudi BN.

Kejayaan PH tidak boleh dinafikan sebagai pemangkin kepada perubahan senario politik negara yang sekaligus merentap dominasi UMNO dalam BN.

Ceritanya tidak habis begitu saja, kejatuhan itu juga menyaksikan UMNO dan PAS yang sekian lama berseteru berkongsi pentas dan membentuk kerjasama Melalui Muafakat Nasional.

Kira-kira 22 bulan mentadbiran negara kerajaan PH yang dipimpin Dr Mahathir tumbang apabila bekas pegerusi Bersatu itu bertindak meletak jawatan.

Rentetan itu juga, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa keluar parti itu daripada PH dan disusuli dengan kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan PKR.

Muhyiddin kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Dr Mahathir dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama BN, PAS, GPS dan parti dari Sabah.

Di awal pentadbiran Muhyiddin beliau berdepan dengan cabaran besar menangani pandemik wabak Covid-19.

Berdepan cabaran Covid-19, petugas barisan hadapan telah berjaya memainkan peranan dengan cemerlang sehingga mendapat pujian negara dunia lain.

Rakyat Malaysia pula telah menunjukkan kerjasama dan tahap disiplin yang tinggi bagi membantu petugas barisan hadapan memerangi Covid-19.

Kejayaan ini membuktikan rakyat Malaysia berbilang kaum bersatu hati atas nama negara bangsa yang cintakan keamanan dan kedamaian.

Begitu juga proses peralihan kuasa di negara kita juga berlaku secara aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Menjadi tanggungjawab setiap insan yang bernama warga Malaysia untuk mempertahankan nikmat keamanan dan keharmonian ini.

Juga menjadi tanggungjawab kami untuk menyediakan berita yang “bebas, benar dan beretika” buat tatapan dan “santapan” anda semua.

Sokongan anda amat kami hargai.

Sidang Pengarang, Malaysia Post