PDRM buka 1,897 kertas siasatan berita palsu, kes media sosial

0
2

POLIS membuka 1,897 kertas siasatan membabitkan penyebaran berita palsu atau hasutan di media sosial sejak Januari 2019 hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata siasatan dijalankan selari dengan peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

“Sebanyak 1,897 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kes menyentuh Institusi Diraja(185), Perkauman(112), penghinaan agama(168), kes berkaitan kerajaan (248) dan 1,184 kes melibatkan individu serta agensi.

“Setakat ini, sebanyak 844 kes telah berjaya diselesaikan manakala baki 1,053 kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, sepanjang tempoh 18 Mac tahun lalu hingga 20 Jun tahun ini, siasatan melibatkan penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 mencatatkan sebanyak 254 kes.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 109 kes telah berjaya diselesaikan manakala 145 kes masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata, sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau berita yang boleh menyebabkan kegentaran awam di media sosial boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial untuk menyalurkan berita atau maklumat yang tidak pasti kesahihannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here