Persatuan Penduduk nafi abai, tak tolong Prebet Suria

0
2

Najamuddin Mohd Nor

PENDUDUK Flat Sri Sarawak di ibu negara menafikan mereka tidak mengambil berat nasib keluarga Prebet Suria Mohamad Hassan yang ditemui hidup melarat di bawah jambatan baru-baru ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk, Mohd Azmi Zakaria berkata Suria yang juga pesara tentera menjalani kehidupan biasa seperti penduduk lain di flat berkenaan.

“Saya menafikan kami mengabaikan dan tidak mengambil tahu nasib Suria dan keluarganya. Malah, sentiasa menyalurkan bantuan atau sumbangan seperti diterima penduduk lain yang layak, susah, asnaf dan sebagainya.

“Dia baru saja menerima sumbangan pada 7 Jun lalu. Nama pun sumbangan tak bolehlah hari-hari, kenalah ikut giliran.

“Untuk bantuan kewangan, saya akui memang kami tak mampu sebab tak dapat peruntukan itu,” katanya kepada Malaysiapost hari ini.

Prebet Suria

Mohd Azmi menjelaskan, pihaknya kesal kerana sejak penularan kisah Suria dan keluarganya di media sosial, Persatuan Penduduk Sri Sarawak dikecam kerana seolah-olah gagal mengesan penduduk yang sedang dihimpit kesusahan.

“Bila kisah dia tular, bukan saja ATM, Veteran ATM dikecam, saya dan persatuan penduduk pun dikecam. Saya nak ceritakan sebenarnya ini adalah salah faham.

“Dia tak pernah mengadu pun pada kami, tidak guna saluran betul. Dia sebenarnya masih tinggal di sini, rumah itu milik isterinya bersama ibu mentua. Bawah jejantas tu memang tempat dia berniaga buah.

“Cumanya bila jadi macam tu, rumah pun sempit dengan 10 orang, memang tidak selesa. Itu yang masa dia lama dan nampak macam berumah di bawah jambatan tu.

“Kami tak pernah abaikan dia, anak-anak tiri dia yang lain ok saja duduk di sini, itu yang saya pelik tiba-tiba viral di media sosial sedangkan itu bukan kisah sebenarnya,” dakwanya.

Rumah Suria di Flat Sri Sarawak

Bagaimanapun, Mohd Azmi mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang memberi kesan kepada kehidupan Suria.

“Itulah saya nak nasihat kepada yang pencetus viral, siasat semua pihak dulu, tanya betul ke kisah tu dulu, jangan sebab nak dapat ramai orang baca atau tengok video terus nak viral melulu.

“Saya akui memang PKP memberi kesan kepada perniagaan buah diusahakannya, namun bukan dia sahaja, saya percaya ramai lagi yang terkesan sebab PKP.

“Tapi kenapa tak datang mengadu kepada kami, cerita pada kami, Insya-Allah kita boleh bantu, saya veteran ATM juga, boleh saya bawa masalah dia kepada pengetahun Veteran ATM untuk bantuan,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil siasatan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV ATM) mendapati Suria dan keluarganya tinggal di ruangan bawah jejantas jalan Loke Yew 6, hampir enam bulan sejak Januari lalu setelah tidak mampu membayar sewa rumah kerana hilang punca pendapatan ekoran pandemik Covid-19.

Difahamkan, Suria berkahwin kali kedua pada 2012 dan dikurniakan empat anak.

Menurut Ismail Sabri, ATM kini menempatkan Suria dan keluarganya di Flat Sri Johor sementara mendapat rumah yang sesuai untuk keluarga itu.

Ismail Sabri juga berkata, Suria juga akan dibantu untuk mendapatkan bantuan sara hidup bulanan berjumlah RM300 dalam masa terdekat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here