SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah berkenan supaya Dewan Negeri Johor bersidang pada 12 Ogos 2021.
Baginda juga berkenan untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.
“Saya mahu semua Ahli Dewan bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan Negeri Johor, terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi Negeri Johor dengan sebaiknya.
“Saya berasa amat sedih melihat kehidupan rakyat saya yang dalam kesusahan, ketakutan dan kegelisahan sekarang ini.
“Saya juga kecewa kerana sehingga hari ini, masalah penularan virus Covid-19 masih belum dapat diselesaikan,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) yang dimuatnaik di Facebook baginda.
Baginda bertitah demikian selepas menerima mengadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Penasihat Undang-Undang Johor, Amir Nasruddin pagi tadi.
Sultan Ibrahim turut menerima mengadap Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu bagi mendapatkan laporan keadaan pendemik Covid-19 di negeri itu. – Malaysiapost

