Silap besar kata Umno tak relevan – Zahid

0
2

PIHAK tertentu yang menyatakan Umno sudah tidak lagi relevan adalah suatu kesilapan besar,” kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyifatkan mereka yang membuat kenyataan itu ‘sedang bermimpi di siang hari’ kerana mengandaikan yang mustahil dan bukan-bukan.

Beliau sebaliknya berkata, Umno umpama pohon besar yang sedang menanti detik kembali berbuah.

“Meskipun pernah seakan-akan nyaris tumbang dipukul ribut, namun akarnya begitu utuh lagi kuat. Pohon Umno nan luhur tetap teguh berpacak memayungi segenap naungannya.

“Rakan-rakan Umno sekalian. Umno dilahirkan dengan air mata pengorbanan orang Melayu. Umno dilahirkan di Istana Melayu dan parti terbesar orang Melayu sejak 11 Mei 1946.

“Umno mendepani rancangan Malayan Union oleh British demi survival bangsa Melayu. Umno mempertahankan kedaulatan institusi diraja dan Raja-Raja Melayu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahmad Zahid berkata Umno juga mengangkat kepentingan Melayu lagi memperkasakan syariat agama, serta sebuah parti politik dengan semangat nasionalisme Melayu berpaksikan Islam.

Kerana itu katanya Umno masih bertapak di hati Melayu disebabkan asas penubuhannya yang jelas.

“Bagaimanapun Umno tidak pernah sama sekali mengenepikan hak bukan Melayu. Sejarah berpuluh tahun Umno mengemudi teras pentadbiran negara sebagai bukti.

“Sahabat-sahabat Umno sekalian. Umno akan kembali berjuang dalam PRU akan datang. Amalan kita bermuafakat dan tidak berpecah belah. Serumpun bak serai, sesusun bak sireh.

“Perjuangan UMNO pada PRU-15 jauh lebih murni. Demi sebuah kebenaran dan kewajipan,” katanya sambil menyatakan keyakinan rakyat bersama Umno kerana parti itu akan terus bersama rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here