‘Notis buka Parlimen 28 hari, bukan 14 hari’ – Shahidan tegur Umno

0
2

AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bersetuju supaya sidang Parlimen dibuka namun menolak gesaan tempoh 14 hari seperti dinyatakan Umno semalam.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu berkata, tempoh 14 hari yang itu adalah tidak tepat kerana notis sebenar menuntut Parlimen bersidang adalah 28 hari.

“Kami (Ahli Parlimen BN) bersetuju Parlimen disegerakan tapi ikut notis. Notis adalah 28 hari, bukan 14 hari.

“Itu (14 hari) sebenarnya tidak tepat. Dan kalau kerajaan ini tidak berguna, Umno majoriti dalam kerajaan. Macam mana kerajaan tidak berguna sedangkan ahli Umno ramai di dalamnya?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Shahidan menasihatkan semua pihak supaya menegur kerajaan atas ‘dasar bersama dalam kerajaan’ serta dibuat berlandaskan pandangan yang betul.

“Jadi saya nasihatkan semua pihak bila tegur kerajaan, tegur atas dasar bersama dalam kerajaan. Kalau nak tegur secara terbuka, itu tidak tepat. Kalau nak bagi pandangan pun, biarlah pandangan yang betul,” katanya.

Katanya, majoriti Ahli Parlimen BN masih berpegang teguh dengan keputusan parti pada Perhimpunan Agong Umno untuk menyokong kerajaan sehingga Pilihan Raya dan Parlimen dibubarkan selain kekal dengan pendirian ‘No’ Anwar ‘No’ DAP.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu berpendirian tegas mendesak kerajaan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh semalam.

Ahmad Zahid berkata, ia bagi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar Parlimen segera bersidang.

Katanya, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here