PERANCANGAN pembelian 500 unit ambulans telah dirancang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak tiga tahun lepas bagi menggantikan ambulans sedia ada yang tidak dapat beroperasi secara optimum.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata peruntukan pembelian kenderaan itu diluluskan kerajaan pada tahun ini adalah ambulans jenis biasa dan bukannya jenis ‘negative pressure ambulance’.
Katanya, pengumuman proses tender pembelian ambulans dibuat ketika merasmikan sebuah negative pressure ambulance itu yang dibeli Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) iaitu yang pertama bagi membawa pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS pada Jumaat lalu.
“Ketika perasmian itu, saya menyatakan pada masa sama Kementerian Kesihatan sedang membuat proses tender 500 ambulans jenis biasa dan negative pressure ambulance.
“Perancangan pembelian ini telah dibuat semasa pentadbiran Menteri Kesihatan terdahulu dan sememangnya sudah diluluskan lebih awal untuk menggantikan ambulans yang rosak, telah dilupuskan, perlu diganti dan ditambah baharu di kawasan tertentu yang memerlukan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Dr Adham berkata, pertambahan ambulans baharu amat diperlukan ketika ini apatah lagi ketika tempoh pandemik Covid-19 bagi kekerapan pengangkutan pesakit serta memindahkan petugas kesihatan untuk membuat saringan.
Justeru katanya, pihak kementerian memerlukan ambulans yang lebih baik sekali gus membantu melancarkan pengurusan pencegahan dan kawalan wabak atau bagi tujuan pemindahan pesakit lain bukan Covid-19 pada masa akan datang.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, ketika majlis penyerahan pada 19 Jun lalu, tidak disebut kesemua 500 ambulans itu bercirikan ‘negative pressure ambulance’ sebagaimana yang disalah faham dan dilapor pihak tertentu.
Semalam, Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mempersoal kepentingan pembelian unit kenderaan ambulans jenis itu dalam pelaksanaan darurat ketika ini.
Beliau berkata, pembelian 500 ambulans tekanan negatif itu menelan kos yang tinggi mencecah RM300 juta manakala petugas kesihatan pula dalam pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dan mendakwa apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah memikirkan cara menurunkan angka kematian akibat Covid-19.
Sedangkan baru-baru ini, Dr Adham memberitahu KKM akan memulakan perolehan lebih banyak unit kenderaan ambulans dan hanya terdapat sebuah kenderaan yang diguna pakai JKNS iaitu ‘negative pressure ambulance’.
Kenderaan itu mempunyai sistem tekanan negatif, penapisan HEPA dan lampu UV khusus untuk kes penyakit berjangkit terutamanya jenis penyakit bawaan udara.
Sistem penapisan HEPA dan lampu UV dapat membersihkan udara dan dalam masa sama dapat memerangkap virus daripada merebak.
Ambulans itu juga dilengkapi Pod Isolasi (Isolation Chamber) yang diperbuat daripada filem TPU khas dan dikuatkan dengan memasukkan tiang ABS di setiap sisi struktur usungan berkenaan.
Pada 17 Jun lalu, KKM mengiklankan tawaran tender untuk perolehan 490 jenis ambulans bersama kelengkapan peralatan perubatan bagi kegunaan hospital dan klinik di seluruh negara. – Malaysiapost

