PEMANDU Toyota Camry yang terbabit dalam kes langgar lari di lorong kecemasan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bentong, Pahang hingga sebuah motosikal terbabas akan direman hari ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata suspek berusia 37 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak jam 7 malam tadi.
“Perintah tahanan reman akan dilaksanakan hari ini di IIPD Bentong untuk siasatan lanjut,” katanya dilaporkan Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata pemandu kereta itu telah dibawa ke IPD Bentong dan akan menjalani ujian saringan awal air kencing.
“Dua mangsa yang menunggang dan membonceng motosikal itu sedang dikesan untuk membantu siasatan.
“Motosikal itu ditunggang lelaki Orang Asli manakala pemboncengnya adalah wanita Melayu,” katanya yang turut mengesahkan kenderaan dinaiki suspek ditahan untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusuf Unis pula berkata kejadian berlaku pada jam 2.30 petang apabila kenderaan dipandu lelaki itu mengubah haluan ke lorong kecemasan untuk memotong kenderaan hadapan.
Katanya, motosikal yang datang dari lorong kecemasan yang ditunggang lelaki dan membonceng wanita berusia 26 tahun itu cuba mengelak sebelum terbabas ke kiri dan terjatuh di tebing jalan.
“Mangsa yang cedera di hantar ke Hospital Bentong dan dirawat sebagai pesakit luar.
“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Malaysiapost

