
AHLI parlimen diminta menumpukan segala perhatian membanteras Covid-19 dan tidak terjebak dalam sebarang usaha rampasan kuasa yang kian diperkatakan melalui pengumpulan akuan bersumpah (SD).
Perkara itu dibangkitkan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang menyatakan rakyat sudah letih dengan propaganda politik.
“Sekarang, masanya untuk bersama rakyat, merangka agenda menangani pandemik. Yang perlu kita tumpaskan ialah Covid-19 dan bukannya kerajaan,” katanya menerusi kenyataan.
Dr Dominic juga meminta Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan tidak terpedaya dengan konsep muafakat palsu dibawa pembangkang yang bermatlamatkan politik rampas kuasa.
“Kerajaan dah umumkan fasa-fasa pemulihan, kementerian seperti MOSTI dan Kesihatan bertungkus-lumus dalam meratakan keluk Covid-19 dan mencapai sasaran imuniti kelompok mengikut jadual.
“Selepas itu kita serahkan kepada rakyat untuk pilih kerajaan, itulah asas demokrasi,” katanya.
Semalam Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam temubual eksklusif bersama Malaysiapost mendedahkan wujud Akuan Bersumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen yang hangat diperkatakan saat ini.
Bagaimanapun beliau memaklumkan tiada mana-mana pihak mendekatinya untuk menandatangani sebarang SD.
“Saya secara peribadi tiada sesiapa mendekati untuk tanda tangan apa-apa. Perkara berkenaan SD memang saya ada dengar dan saya tidak menafikan kewujudannya.
“Usaha sedemikian memang sedang dibuat, bagaimanapun saya secara peribadi dan ada rakan-rakan yang lain tidak didekati untuk tanda tangan apa-apa,” katanya dalam program Sudut Pandang bersama Malaysiapost. – Malaysiapost
