Lantikan 18,702 guru baharu, atasi pengangguran graduan pendidikan

0
2

PENGAMBILAN khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi kekosongan dihadapi di seluruh negara adalah antara usaha kerajaan mengurangkan kadar pengangguran khususnya kepada graduan aliran pendidikan.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Khairil Nizam Khirudin, berkata ia merupakan berita baik khususnya kepada graduan aliran pendidikan dan mereka yang bercita-cita menjadi ’embina Anak Bangsa’.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan negeri yang mempunyai jumlah kekosongan guru tertinggi adalah Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

“Justeru, saya harap lebih ramai anak Sabah dan Sarawak dapat mengisi kekosongan di negeri mereka agar guru-guru daripada Semenanjung yang masih bertugas di sana dapat dipercepatkan proses mereka untuk berpindah melalui sistem e-GTukar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS berkata, pengambilan itu sekali gus dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru yang selama ini menjadi isu berpanjangan sering dibangkitkan warga pendidik.

“Kita sering mendapat aduan daripada guru yang terpaksa membuat kerja lebih masa dan diluar skop tugasan mereka.

“Sehinggakan ada yang tertekan dengan lambakan tugas, berhadapan dengan masalah psikologi yang berpanjangan dan juga menimbulkan masalah kepada keluarga mereka di rumah,” katanya.

Beliau berkata, apabila guru tidak mampu memberikan fokus dan berhadapan tekanan, ini akan meberikan kesan kepada kualiti proses pengajaran anak-anak kita semua di sekolah.

“Tahniah saya ucapkan kepada Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin kerana memberikan keutamaan untuk menyelesaikan masalah ini.

“Pengumuman pengambilan guru secara besar-besaran amatlah melegakan. Secara tidak langsung, inisiatif ini akan membantu dalam usaha kerajaan mengurangkan kadar pengangguran dalam negara khususnya buat anak-anak muda graduan aliran pendidikan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairil Nizam berkata, pihaknya juga memberi empat cadangan kepada KPM dalam usaha menambahbaik sistem pendidikan negara.

Katanya, antara cadangan termasuk memberikan peruntukan bantuan tambahan segera kepada anak-anak keluarga B40 seperti bantuan tablet dan Bakul Makanan Asas untuk mereka berhadapan dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Selain, mewujudkan satu Program untuk memberikan kefahaman kepada ibu bapa agar mereka boleh terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan proses PdPR.

“Mewujudkan program motivasi secara dalam talian sama ada mengenai kecemerlangan akademik atau kepimpinan untuk para pelajar sekolah agar psikologi mereka dapat diperkasa ketika berada di rumah dan melalui PdPR,” katanya.

Semalam, KPM mengumumkan akan membuat pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Radzi berkata, ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41.

Iklan pengambilan itu akan disiarkan pada 7 Julai ini manakala penempatan secara berperingkat-peringkat bermula pada Oktober nanti.

Katanya, usaha berkenaan adalah perancangan KPM bawah Pelan Pemulihan Negara yang sebelum ini diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here