Parlimen boleh bersidang di kilang, tapak binaan – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

DATUK Seri Najib Razak menyindir kerajaan kerana masih teragak-agak untuk mengadakan sidang Parlimen meskipun telah dititahkan oleh Yang di Pertuan Agong untuk diadakan secepat mungkin.

Bekas Perdana Menteri berkata, kerajaan boleh mengadakan sidang Parlimen di kawasan selamat dari jangkitan Covid-19 seperti bangunan kilang atau kawasan tapak pembinaan seperti dibenarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ketika Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

“Jika masih tak rasa selamat untuk sidang dalam bangunan Parlimen, kita bersidang di kilang atau tapak pembinaan sahaja sebab MITI kata tempat-tempat itu selamat dan bebas Covid,” sindirnya di Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu juga pelik kerana kerajaan mahu membentuk jawatankuasa khas bagi mengkaji Parlimen sama ada bersedia bersidang ketika pandemik Covid-19.

“Tak payah bentuk satu lagi jawatankuasa untuk kaji jika Parlimen sedia bersidang dalam zaman Covid-19 ini.

“Jika masih tak pasti sama ada selamat bagi 220 orang bersidang dalam satu dewan besar, pergilah buat lawatan sambil belajar ke kilang elektronik, kilang sarung tangan, tapak pembinaan ke atau mana-mana 120,000 lebih syarikat yang dibenarkan MITI untuk beroperasi dalam tempoh Total Lockdown ini,” katanya.

Menurut Najib, sidang Parlimen pernah diadakan ketika pandemik pada tahun lalu.

“Dah pun pernah banyak kali Parlimen bersidang tahun lepas masa Covid cecah ribuan kes sehari walaupun masa itu seorang pun tak pernah terima satu titik vaksin.

“Sekarang, semua Ahli Parlimen dah selesai divaksin dua kali. Boleh ke sana ke sini kononnya,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebuah jawatankuasa dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang telah dibentuk untuk meniliti aspek penting sebelum sidang Parlimen diadakan.

“Saya minta jawatankuasa yang dianggotai wakil-wakil kerajaan dan pembangkang untuk menilai perkara berkenaan, dan selepas itu barulah mereka maklumkan kepada saya sama ada sudah bersedia atau tidak untuk memulakan sidang Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here