SEORANG penunggang motosikal cedera parah dilanggar sebuah ambulans di persimpangan Kilometer 33 Jalan Persekutuan berdekatan Serendah, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata kejadian pada jam 8.05 malam itu melibatkan sebuah ambulans Hospital Selayang yang dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu.
Katanya, setibanya di persimpangan lampu isyarat berhampiran stesen minyak BHP Serendah, ambulans itu meneruskan perjalanannya setelah lampu isyarat bertukar hijau.
Namun menurut Arsad, penunggang motosikal berusia 37 tahun dari Kampung Serendah tidak berhenti dan meneruskan perjalanannya sehingga bertembung dengan ambulans terbabit.
“Pemandu ambulans tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku pelanggaran.
“Lelaki itu cedera parah di kepala dan kaki kanan, manakala pemandu ambulans dan dua kakitangan perubatan wanita tidak mengalami kecederaan.
“Penunggang motosikal terbabit kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – Malaysiapost

