PH rayu Agong sahkan sokongan Ahli Parlimen terhadap PM

0
2
ydpa agong dan pm. muhyiddin yassin

JAWATANKUASA Perundangan Pakatan Harapan (PH) merayu agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, mengesahkan sama ada keengganan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera mengadakan sidang Parlimen disokong oleh majoriti Ahli Parlimen.

“Kami merayu Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan budi bicara baginda menurut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk mengesahkan sama ada keingkaran perdana menteri itu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan.

“Sekiranya tidak mempunyai sokongan, adalah jelas Perdana Menteri tidak lagi mendapat keyakinan majoriti yang mewajarkan Yang di-Pertuan Agong melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk meminta Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Jawatankuasa Perundangan PH dianggotai William Leong (PKR-Selayang), Mohamed Hanipa Maidin (Amanah-Sepang), Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Sungai Buloh), Faiz Fadzil (Amanah-Permatang Pasir), Fadhlina Sidek (PKR) dan Zulqarmain Lukman (Amanah).

Jawatankuasa itu juga berpendapat keengganan Perdana Menteri memanggil sidang Parlimen adalah salah guna kuasa dan semakin lama Parlimen digantung, semakin besar risiko wujudnya kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

“Melengahkan persidangan Parlimen sehingga bulan September tidak boleh diterima sama sekali. Ia adalah satu taktik melengah-lengahkan yang merupakan satu penolakan salah.

“Penolakan Kabinet untuk memanggil sidang Parlimen adalah satu tindakan menghalang Parlimen menjalankan tugas sah membincangkan perbelanjaan kerajaan berkaitan isu pandemik Covid-19, program pemulihan ekonomi dan proses vaksinasi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here