JUMLAH kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 di Malaysia yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) dan varian mempunyai kepentingan (VOI) setakat semalam sebanyak 183 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah yang dikesan itu, 167 kes adalah VOC dan 16 kes VOI.
Menurutnya, sejak 11 sehingga 19 Jun lalu, sebanyak 22 kes VOC virus SARS-CoV-2 telah dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) iaitu 14 kes varian Beta (B.1.351); dan lapan kes varian Delta (B.1.617.2).
“Sebanyak 14 kes baharu varian Beta (B.1.351) yang telah dilaporkan adalah masing-masing tiga kes di Selangor, Sabah dan Terengganu, dua kes di Kedah dan masing-masing satu kes di Perak, Johor dan Kelantan.
“Lapan kes baharu bagi varian Delta (B.1.617.2) adalah masing-masing dua kes di Johor, Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sembilan serta masing-masing satu kes di Perlis dan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, keseluruhan VOC yang dilaporkan pula adalah membabitkan 137 kes varian Beta (B.1.351) dengan semuanya adalah kes jangkitan tempatan; 21 kes varian Delta (B.1.617.2) dengan 12 kes jangkitan tempatan dan sembilan kes import); dan sembilan kes adalah varian Alpha (B.1.1.7) dengan empat kes jangkitan tempatan dan lima kes import.
“VOI yang dilaporkan iaitu 12 kes adalah varian Theta (P.3) yang semuanya kes jangkitan tempatan, tiga kes varian Eta (B.1.525) membabitkan semuanya kes import dan satu kes varian Kappa (B.1.617.1) yang juga kes import,” katanya.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2, memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian ini dalam komuniti.
“Masyarakat dinasihatkan untuk segera tampil mendaftarkan diri dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin dalam usaha membantu negara dalam membentuk imuniti kelompok.
“Ini juga merupakan salah satu langkah bagi mengekang kesan buruk penularan varian dalam kalangan komuniti,” katanya. -Malaysiapost

