PM terharu Agong zahir keyakinan terhadap usaha kerajaan

0
3

TAN Sri Muhyiddin Yassin meluahkan rasa terharu apabila Yang di-Pertuan Agong dalam titahnya menzahirkan keyakinan terhadap usaha kerajaan mengukuhkan semula ekonomi, di samping terus membela kebajikan rakyat sepanjang berdepan Covid-19.

Perdana Menteri berkata, dalam titah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di Dataran Pahlawan, Putrajaya pagi tadi, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga berterima kasih kepada rakyat yang menzahirkan ketahanan dan semangat prihatin jitu dalam menangani pandemik tersebut.

“Memang tidak dapat dinafikan pandemik Covid-19 ini sangat menguji kita.

“Namun begitu dari satu sudut, apa yang berlaku ini memperlihatkan solidariti seluruh rakyat sama ada di peringkat kepimpinan, barisan hadapan dan rakyat jelata.

“Ini dalam menangani dugaan besar hingga negara mendapat pengiktirafan dunia sebagai salah sebuah negara yang berjaya mengawal pandemik ini daripada terus merebak,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya lewat petang tadi.
Perdana Menteri berkata ketika ini, negara masih berada dalam fasa pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

“Sepertimana yang pernah saya nyatakan sebelum ini, sektor-sektor ekonomi  yang terjejas akibat sudah kembali rancak dan insya-Allah, sekiranya ini berterusan, ekonomi negara dapat pulih lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata, Seri Paduka juga menyentuh mengenai Rukun Negara dan berpesan supaya ia tidak hanya dijulang secara simbolik menerusi bacaan saban tahun ketika menyambut Hari Kebangsaan.

“Sebaliknya, roh dan semangat Rukun Negara hendaklah dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan.

“Marilah kita sama-sama berjuang memerdekakan diri dan negara kita daripada Covid-19 pula dengan mematuhi segala arahan dan  garis panduan pihak berkuasa.

“Sebagai warga merdeka, marilah kita terus hidupkan semangat patriotisme yang padu untuk negara tercinta ini,” katanya lagi. – Malaysiapost