SEBANYAK 113 kilang diarahkan tutup setakat semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara kumulatifnya pula, sebanyak 24,942 kilang dan premis perniagaan telah diperiksa sejak 14 Januari 2021.
Menurutnya, ia melibatkan 22,819 premis perniagaan dan 2,123 kilang dan sehingga kini, 167 kilang serta 17 premis bukan kilang telah diarahkan tutup.
“Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) secara kumulatifnya sejak 1 Jun sehingga 19 Jun 2021 telah melaksanakan sebanyak 33,010 pemeriksaan.
“Manakala semalam juga, 2,027 pemeriksaan pematuhan harian telah dilaksanakan dan sebanyak 12 kompaun telah dikeluarkan ke atas premis-premis perniagaan yang gagal mematuhi SOP PKP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, seramai 852 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dan daripada jumlah itu, 821 individu dikompaun, manakala 31 lagi direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (175), tidak memakai pelitup muka (143), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (129), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (94), bawa penumpang berlebihan (45) dan lain-lain kesalahan (266),” katanya.
Menurutnya, bagi kawalan sempadan negara melalui Op Benteng pula, seramai 18 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan semalam.
“Turut dirampas sembilan kenderaan darat dan sebanyak 173 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan dan seorang PATI turut berjaya diusir melalui satu aktiviti pengusiran,” katanya. – Malaysiapost

