DUA lelaki warganegara India yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang diselamatkan dan seorang penyelia sebuah restoran di Petaling Jaya ditahan polis pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhruddin Abdul Hamid berkata, polis mengesan satu penularan rakaman video rancangan televisyen di India yang disiarkan dalam bahasa Tamil pada 17 Jun lalu yang menceritakan pengalaman seorang lelaki warga India mendakwa dieksploitasi oleh majikannya di Malaysia.
Menurutnya, pekerja restoran terbabit mendakwa tidak dibayar gaji, dipukul, didera secara seksual dan telah menyaksikan rakan sekerja yang juga warganegara India di bakar di bahagian kaki oleh majikan di restoran berkenaan.
“Bertindak atas maklumat hasil terjemahan daripada video berkenaan, polis dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Task Force Majlis Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (MAPO) telah menjalankan satu pemeriksaan ke atas sebuah restoran di Petaling Jaya.
“Ketika pemeriksaan mendapati terdapat enam pekerja tempatan dan seorang pekerja warganegara India yang hasil temubual pekerja asing itu mengesahkan seorang rakan sekerjanya telah mengalami kecederaan akibat terkena api pada pertengahan tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada Jumaat lalu, kira-kira jam 2.30 petang pihaknya turut menerima satu laporan daripada seorang wanita tempatan berkenaan penularan video sama di laman sosial dan berdasarkan laporan itu, polis menjalankan siasatan lanjut.
“Polis seterusnya menyelamatkan dua lelaki warganegara India berusia lingkungan 22 hingga 34 tahun yang juga pekerja dan bekas pekerja di restoran terbabit.
“Hasil siasatan awal terhadap mangsa, polis kemudian melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang merupakan bekas penyelia di restoran berkenaan.
“Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya.
Fakhruddin berkata, kedua-dua mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan lelaki selepas perintah perlindungan interim (IPO) selama 21 hari mengikut Seksyen 44 (2) Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 diperoleh.
Katanya, suspek pula direman selama enam hari sehingga 24 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 Atipsom 2007.
“Polis akan sentiasa bekerjasama dengan JTK untuk menangani kes eksploitasi ke atas pekerja serta pemerdagangan dan penyeludupan migran dan masyarakat dinasihati untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes sedemikian,” katanya. – Malaysiapost

