Perancah besi jatuh: PROLINTAS akan beri kerjasama penuh

0
1

PROJEK Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (PROLINTAS) bersama kontraktor terlibat iaitu MRCB Builders Sdn Bhd akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung inisiden perancah besi atau ‘scaffolding’ jatuh di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran Sungai Buloh-Kota Damansara semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata selaku pemaju bagi projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), pihaknya akan terus menambah baik proses dan pelaksanaan projek yang sedia ada.

Beliau menjelaskan PROLINTAS secara konsisten mengingatkan kontraktor terlibat sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), serta mengambil langkah bersesuaian dalam aspek keselamatan pembinaan lebuh raya.

“Hasrat dan objektif kami sangat jelas untuk memastikan projek ini dibina dengan cara yang paling selamat, siap pada waktunya dan mengikut standard amalan kejuruteraan tertinggi,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, pembinaan DASH melibatkan lapan kontraktor utama di samping penglibatan secara menyeluruh oleh jurutera perunding bebas dalam rekabentuk, pengawasan dan penyeliaan dari pelbagai aspek.

Sementara itu PROLINTAS memaklumkan operasi pembersihan perancah besi di NKVE berhampiran Sungai Buloh-Kota Damansara itu, masih lagi berjalan namun dihentikan jam 3 petang tadi atas sebab hujan lebat dan akan bersambung esok.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya diminta berhati-hati ketika melalui kawasan terlibat yang mana lorong kanan dari kedua-dua arah Lebuhraya NKVE ditutup dan laluan kontra telah diaktifkan untuk melancarkan trafik.

“Pengguna dinasihatkan untuk mematuhi arahan pengawal trafik dan papan tanda penunjuk arah disediakan di lokasi,” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam tadi, konkrit pembinaan lebuh raya setinggi 12 meter di NKVE berhampiran Sungai Buloh-Kota Damansara runtuh menyebabkan dua pekerja warga Bangladesh cedera ringan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here