Darurat: Kita tidak gagal, tapi belum berjaya sepenuhnya – Annuar

0
2

“UMPAMA perlawanan bola sepak sedang berlangsung, sudah diputuskan menang atau kalah, malah diminta supaya perlawanan ditamatkan kerana merasakan sudah gagal.”

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi perumpamaan itu bagi menjawab kenyataan beberapa pihak yang mendakwa proklamasi darurat dilaksanakan kerajaan gagal menangani penularan Covid-19.

Annuar berkata, gagal atau berjaya pelaksanaan darurat itu adalah bergantung kepada ‘jurunilai’.

“Bagi yang mengharapkan pasukan kalah atau yang sudah ‘jual game’ untuk kalah, sudah tentu mahu secepat-cepatnya mengistihar usaha telah gagal. Ini kerana kegagalan itu, adalah kejayaan buat mereka.

“Bagi yang memahami trend penularan Covid-19 seluruh dunia, menamatkan atau menewaskan virus ini memakan masa yang panjang.

“Dalam pada itu, di kebanyakan negara terutama yang mahu terus mempertahankan kehidupan ekonominya dengan tidak melaksanakan lockdown, angka kematian mencapai ratusan ribu dan jangkitan mencecah jutaan angkanya.

“Namun Alhamdulillah di negara kita kadarnya (kematian) tak sampai satu peratus,hanya kira kira 0.46 peratus. Bagi yang mahu menggelarkan kita gagal, tentu tidak mahu menyebut Alhamdulillah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata tiada penawar atau ubat Covid-19 sehingga kini dan yang baru ditemui setakat ini hanya perisai badan iaitu vaksin.

Namun, katanya, sejak ditemui beberapa bulan lalu, berbillion penduduk dunia berebut untuk mendapatkannya.

“Yang dapat semuanya secara berperingkat bergantung kepada jadual ditentukan pengeluar, bukan ditentukan pembeli. Seller’s market kata orang.

“Justeru menyukat berjaya atau gagal di pertengahan jalan bukanlah cara yang benar, kecuali kita mempunyai motif lain dalam menentukan berjaya atau gagal,” katanya.

Katanya lagi, ramai yang ternyata gagal memahami realiti atau sengaja mahu menyembunyikan fakta, apakah sebenarnya asas pertimbangan sewaktu kerajaan mahukan proklamasi darurat.

Beliau berkata, ketika itu negara diberikan unjuran bahawa berkemungkinan Malaysia berdepan situasi seperti dihadapi sesetengah negara lain di mana kes mencecah belasan atau puluhan ribu sehari berdasarkan index R-Naught (R0) pada waktu itu.

“Maka segala kudrat perlu dikumpulkan serta-merta termasuk suatu keadaan di mana penggubalan punca kuasa membuat undang-undang di ‘legislative’ dipendekkan, iaitu melalui Ordinan-Ordinan bukan akta seperti dalam keadaan biasa.

“Setakat ini, walaupun gelombang demi gelombang datang, negara masih berjaya mengawal agar tidak berlaku situasi buruk seperti dalam unjuran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata jika ketika ini sudah mahu menghukum berjaya atau gagal darurat itu, ia tidak wajar sama sekali sebaliknya perlu menunggu tamatnya ‘perlawanan’ atau setidak tidaknya sehingga pelan vaksinasi dapat disempurnakan.

“Jika mahu menyukat juga, usah bandingkan jumlah kes positif atau angka kematian antara sebelum dan semasa darurat masih berjalan.

“Tapi lihat juga pada kejayaan menyekat angka yang diunjurkan, kapasiti merawat yang dibina dan ditingkatkan dalam tempoh itu serta kesiapsiagaan sistem perubatan dan kawalan wabak negara.

“Kita agak berjaya setakat ini, tetapi belum kejayaan mutlak atau boleh disimpulkan kita tidak gagal tapi belum berjaya sepenuhnya.

“Kita rasa gagal bila kita tidak berkasut kerana kita lupa ada orang lain yang langsung tidak berkaki,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here