Kurangkan birokasi, mudahkan agihan BPN, BPR

0
2

PEMUDA Umno menggesa kerajaan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selaku agensi pelaksanaan untuk memudahcara dan mengurangkan birokrasi pelaksanaan program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerajaan harus menyediakan sumber mencukupi buat LHDN dan agensi lain yang terlibat dalam proses kelulusan program berkenaan.

“Dahulukan kepentingan rakyat lebih-lebih lagi negara berada di dalam keadaan krisis seperti sekarang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Asyraf Wajdi berkata setiap hari Pemuda Umno menerima mesej keluhan rakyat berkenaan BPR dan BPN melalui pelbagai platform termasuklah Hotline Pemuda sejak total lockdown dikuatkuasakan.

katanya, sata-rata mengadu bahawa permohonan mereka kali ini ditolak, tunai lambat dikreditkan ke akaun penerima, data tidak dikemaskini dan proses rayuan menyusahkan serta penuh karenah birokrasi.

“Fahamilah nasib rakyat ketika ini yang amat tertekan dan terdesak akibat PKP berpanjangan yang bukan sahaja membataskan pergerakan, tetapi lebih parah lagi menyebabkan pendapatan rakyat amat terjejas.

“Ini terutamanya yang tiada pendapatan tetap, bekerja sendiri dan bergantung kepada gaji harian.

“Kini sudah masuk 20 hari sejak ‘TOTAL LOCKDOWN’ separa masak berjalan dan kes baharu positif Covid-19 masih tinggi dengan purata harian kes lebih 5,000 (5,911 pada 19 Jun 2021),” katanya.

Beliau berkata situasi itu dikhuatiri akan berpanjangan dan lebih ramai bakal terjejas apabila Menteri Kesihatan dalam kenyataan terbaru berkata negara hanya akan memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara sekiranya purata kes bawah 4,000 untuk tujuh hari berturut-turut.

“Sudahlah Laporan terbaru Jabatan Statistik Malaysia menyatakan lebih 600,000 isi rumah M40 sudah masuk ke kategori B40, negara tidak menunjukkan indikator positif bahawa ekonomi negara sedang memulih,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here