Skima agihan bantuan perlu kajian semula

0
2
Sulasiya Mardi, 58, di Mansian Tea Stall Jalan Masjid India Peniaga nasi lemak

KERAJAAN diminta mengkaji semula skima pengagihan bantuan kepada rakyat kerana ketika ini ramai golongan daripada kumpulan T20 dan M20 turut terkesan akibat penularan Covid-19.

Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata pandemik Covid19 telah menyebabkan pendapatan isi rumah mula berubah.

Beliau berkata, ramai dalam kalangan kumpulan isi T20 sudah turun menjadi M40 atau lebih dahsyat lagi B40.

Katanya, golongan T20 lazimnya penyumbang terbesar kepada pembangunan negara dan kurang mendapat bantuan kerajaan, manakala golongan M40 sebahagiannya diberi bantuan dan lainnya tidak mendapat apa-apa.

Sebaliknya, kata Zainul Rijal, tumpuan bantuan biasanya diberikan kepada golongan isi rumah B40.

“Contoh golongan T20 adalah juruterbang atau anak kapal pesawat yang dulunya bergaji puluhan ribu tetapi kini tidak mempunyai pekerjaan lagi.

“Golongan M40 pula sebagai golongan pertengahan juga banyak terkesan dengan pandemik ini. Antaranya dibuang kerja, perniagaan yang merosot dan banyak lagi.

“Oleh kerana tumpuan bantuan kerajaan banyak kepada kumpulan B40, golongan lain yang turut terkesan dengan pandemik ini sebenarnya memerlukan bantuan kerajaan.

Namun mereka sering dilupakan kerana disangka masih mempunyai pendapatan yang biasa,” katanya menerusi kenyataan.

Untuk rekod, B20 adalah kumpulan isi rumah berpendapatan terendah, M40 kumpulan isi rumah berpendapatan sederhana dan T20 kumpulan isi rumah berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan perlu mendapatkan data pendapatan isi rumah terkini bagi mengagihkan bantuan.

Beliau memberi contoh, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 1 hingga 28 Jun ini, banyak perniagaan ditutup, pekerja diarah bekerja dari rumah sedangkan kerja tersebut sebenarnya tidak boleh dibuat di rumah.

“Hal ini menyebabkan tiada pendapatan kepada perniagaan. Jadi bagaimana majikan mahu membayar gaji pekerja, sewa premis, perbelanjaan dan banyak lagi.

“Akibatnya pekerja tidak mendapat gaji, majikan pula tidak mendapat bayaran perniagaan mereka. Dalam hal ini bukan sahaja pekerja terkesan tetapi juga majikan.

“Oleh itu mekanisma pengagihan perlu dilihat semula oleh pihak kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainul Rijal berkata beliau menerima banyak aduan daripada ahli Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia yang merungut tidak mendapat bantuan sewajarnya.

“Kebanyakan peguam dikategorikan dalam kumpulan T20 dan M40 kini sangat terkesan apabila kehilangan pendapatan akibat kesan pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here