BERSATU Bahagian Pulai akan merujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Datuk Osman Sapian kepada Lembaga Disiplin parti.
Ini kerana bekas Menteri Besar Johor itu dipercayai berkempen untuk calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, baru-baru ini.
Ketuanya, Ya’cob Atan berkata tindakan ahli parti berkempen untuk calon lawan adalah bertentangan dengan Fasal 10.2.2 dan Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.
“Laporan itu akan dibuat selepas mesyuarat bahagian minggu depan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Konvoi Semarak Kemerdekaan Bahagian Bersatu Pulai hari ini seperti dilaporkan Bernama.
Dua hari lalu, tular satu video di media sosial menunjukkan Osman sedang berucap, dipercayai berkempen menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi pada PRK DUN Slim.
Dalam video itu, Osman mengakui masih menjadi Adun Kempas atas tiket Bersatu dan menjadi ahli parti berkenaan.
Ia sekali gus bercanggah dengan kenyataan Osman sebelum itu yang menyatakan kehadirannya ke Slim, Perak hanya untuk bertemu rakan-rakan lama sambil makan angin dan tiada kaitan dengan politik.
Pada PRK DUN Slim Sabtu lalu, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz, 43, menang selepas memperoleh 13,060 undi, manakala Amir Khusyairi meraih 2,115 undi dan seorang lagi calon Bebas, bekas guru S. Santharasekaran, 44, memperoleh 276 undi. – Malaysiapost

