SEORANG anggota bomba cedera selepas diserang dalam kejadian di Kampung Belipat, Jalan Punang di Lawas, Sarawak, semalam.
Dalam insiden itu, anggota terbabit sedang terlibat dalam kerja pemadaman kebakaran sebuah rumah setingkat sebelum ditumbuk seorang lelaki dari arah belakang.
Seorang lagi lelaki pula dilaporkan memarahi pasukan bomba yang didakwanya lewat tiba, lapor Astro Awani.
Susulan kejadian itu, anggota bomba tersebut yang cedera ringan telah membuat laporan polis.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii dilaporkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung insiden hari ini.
Terdahulu, Balai Bomba dan Penyelamat Lawas menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 3.18 petang.
Sebuah jentera bersama tujuh anggota kemudian bergegas ke lokasi yang terletak enam kilometer dari balai.
Ling Hii berkata ketika bomba tiba, sebahagian besar rumah yang berstruktur tidak kekal itu sudah musnah dan bomba segera melakukan kerja ‘fire break‘ selain teknik ‘receo‘ untuk mengelak api merebak.
Beliau berkata empat sekeluarga yang mendiami rumah tersebut sempat menyelamatkan diri, manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. – Malaysiapost

