Tiga suspek gaduh di Taman Intan Baiduri ditahan

0
2

POLIS menahan tiga suspek yang terlibat dalam pergaduhan berpunca daripada kemalangan kereta di Jalan 1/1B, Taman Intan Baiduri di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata salah seorang suspek yang mencetuskan pergaduhan dilaporkan tidak berpuas hati dengan pemandu dua kenderaan yang terlibat kemalangan.

Beliau berkata, ketika pergaduhan melibatkan tiga pemandu kenderaan itu, muncul seorang lelaki yang juga pengadu cuba meleraikan pergaduhan sebelum diserang empat suspek lain.

Katanya, pengadu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka akibat diserang dengan sebatang besi.

“Setibanya polis di tempat kejadian, kesemua lelaki tersebut telah melarikan diri namun salah seorang suspek yang dipercayai mencetuskan pergaduhan berjaya ditahan.

“Susulan kejadian itu, polis menjalankan operasi untuk mengesan suspek yang masih bebas dan berjaya menahan dua lagi lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, kesemua suspek berusia 24 hingga 29 tahun dengan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah.

Beliau menjelaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya tampil memberi keterangan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.

“Orang ramai juga dinasihati supaya mematuhi undang-undang. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang ingkar,” katanya.

Terdahulu video pergaduhan tersebut tular di media sosial mnemaparkan pergaduhan beberapa individu sebelum seorang daripadanya ditahan polis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here