Ebit Lew dapat kebenaran awal masuk ke Gaza

0
2

PENDAKWAH, Ebit Lew dan rombongannya dilaporkan telah mendapat kebenaran awal untuk memasuki Gaza, Palestin bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Ketika ini, Ebit serta rombongannya masih berada di Kaherah dan belum boleh memasuki Gaza untuk menyampaikan sumbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al Nuri Kamarulzaman, berkata berdasarkan maklumat, pihak berkuasa tempatan meletakkan beberapa syarat tambahan untuk dipatuhi pasukan misi bantuan kemanusiaan tersebut, lapor Berita Harian.

Nadir yang menetap di Gaza hampir 10 tahun, berkata syarat berkenaan antaranya bertujuan memastikan keselamatan perjalanan masuk misi bantuan kemanusiaan itu ke Gaza.

“Tetapi kalau berlaku peningkatan serangan Zionis Israel ketika ke atas bumi Gaza seperti beberapa hari ini, mungkin peluang untuk mereka masuk menjadi semakin rendah.

“Serangan itu akan digunakan sebagai alasan untuk menghalang kemasukan mereka,” katanya.

Awal pagi Rabu lalu, Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza dengan mendakwa ia sebagai tindak balas terhadap tindakan pejuang wilayah itu menghantar belon api ke selatan Israel.

Israel sekali lagi melancarkan serangan udara awal pagi semalam, terhadap beberapa lokasi milik kumpulan bersenjata di barat laut Bandar Gaza dan utara Beit Lahia di wilayah yang terkepung.

Dua serangan ini adalah yang pertama berlaku di Gaza sejak Israel dan pejuang Hamas bersetuju untuk gencatan senjata pada 21 Mei lalu susulan serangan 11 hari tentera Israel di wilayah berkenaan yang menyaksikan lebih 260 penduduk Palestin terbunuh.

Difahamkan, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Ebit masih mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa bagi memudahkan urusan kemasukan ke Gaza.

Ebit dan rombongan bantuan kemanusiaannya berlepas ke Mesir pada 25 Mei lalu dan pada hari sama, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar menjelaskan misi bantuan yang dijadualkan bermula 25 hingga 30 Mei itu mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.

Kata Kamaruddin, urusan dan persediaan berkaitan misi itu sudah dirancang serta dibuat oleh Ebit sendiri melalui kerjasama dengan rakan badan bukan kerajaan (NGO) mereka di Mesir.

Pada 27 Mei lalu, Ebit Lew melalui satu hantaran di Facebook, memaklumkan selamat tiba di Mesir dan membeli barangan keperluan asas serta ubat-ubatan yang akan dibawa menggunakan dua treler dan beberapa lori untuk dihantar terus ke hospital di Gaza pada hari terbabit.

Banyak pihak kemudian tertanya-tanya mengenai status keadaannya serta perkembangan misi bantuan kemanusiaan itu selepas Ebit tidak mengemas kini laman sosial selepas tarikh itu sehinggalah beliau memuat naik gambarnya di Facebook serta Instagram, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan lokasi beliau sewaktu memuat naik gambar berkenaan, sebaliknya meminta masyarakat mendoakan kejayaan misi. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Ebit Lew

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here