Tiada perundangan iktiraf jantina ketiga

0
2
peguam

Nilam Oshman

“TIADA ruang perundangan yang boleh digunakan individu atau pihak bagi mengiktiraf jantina ketiga,” kata peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Beliau mengulas tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) untuk melaksanakan penyelidikan mengenai keperluan undang-undang khusus bagi mengiktiraf jantina ketiga di negara ini.

Mohd Khairul berkata, kajian itu tidak membawa manfaat kepada sesiapapun malah akan merosakkan lagi pemikiran dan akhlak manusia.

Sehubungan itu, beliau pendapat isu jantina ketiga tersebut tidak perlu dilayan.

“Tuhan sudah menjadikan lelaki dan perempuan, jadi tak ada isu jantina ketiga kerana ia tidak mendapat pengiktirafan mana-mana agama dan ketamadunan manusia sebelum ini.

“Justeru tak ada sebab untuk kita secara tiba-tiba membuat kajian untuk mengiktiraf isu ini,” katanya kepada Malaysiapost.

Beliau berkata, setakat ini tidak nampak mana-mana ruang perundangan yang boleh digunakan oleh pihak tersebut, melainkan mereka menguasai kerajaan dan meminda undang-undang barulah ia boleh dilaksanakan.

“Jadi, undang-undang sebegitu tidak ada relevansi di mana-mana,” katanya.

Isnin lalu, suruhanjaya itu menerusi Facebook dan laman sesawangnya memuatnaik iklan bagi mencari penyelidik untuk kajian kebolehlaksanaan undang-undang berhubung isu berkenaan.

Berdasarkan hantaran itu, projek penyelidikan berkenaan dijangka mengambil masa lima bulan bermula dari tarikh pelantikan dengan tarikh tutup permohonan pada 30 Jun dan penyelidik diperlukan secepat mungkin.

Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memohon penjelasan rasmi daripada Suhakam  berhubung projek penyelidikan yang ingin dijalankan mengenai perundangan untuk mengiktiraf jantina ketiga di negara ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here