Dahului pelan pemulihan dengan moratorium automatik – MTEM

0
1

MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) menegaskan Pelan Pemulihan dan semua cadangan pembukaan ekonomi mesti diperhalusi dan didahulukan dengan moratorium automatik serta disusuli bantuan tunai dan subsidi upah.

Pengerusinya, Dr Abd Halim Husin berkata, hakikatnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) masih menjadi nadi ekonomi negara.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu perhalusi semula Pelan Pemulihan Covid-19, berdasarkan saranan Majlis Raja Raja khususnya aspek seperti nyawa dan kehidupan rakyat perlu diutamakan.

“Kaedah menangani wabak Covid-19 bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, mempelajari, melakukan pengubahsuaian, penambahbaikan dan penerokaan baharu sehingga meyakinkan dan mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Abd Halim berkata, kerajaan mesti menerima hakikat memerlukan banyak masa untuk kadar vaksinasi akan berjaya mencapai tahap optimum, dan kadar jangkitan menjadi jauh lebih rendah.

“Yang pasti, keadaan yang diharap tidak berlaku dalam satu atau dua bulan lagi. Ini bukan hanya soal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penarafan Bank atau Moody.

“Ini persoalan keprihatinan dan empati pemerintah pada kesengsaraan rakyat yang sedang berkorban demi negara,” ujarnya lagi.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Menteri Kewangan ingin membebankan 85 peratus rakyat kerana risaukan 15 peratus peminjam yang tidak membayar mengikut statistik dikeluarkan sebelum ini.

Tambahnya, beliau menyatakan kadar 20 peratus sahaja PMKS menerima bantuan PEMERKASA PLUS tidak memadai.

“Adakah nyawa dan keperluan isi rumah yang bergantung pada 80 peratus PMKS yang tidak dapat manfaat kurang penting dan tidak mendesak?

“Kerajaan perlu pilih sama ada ingin zahirkan kasih sayang pada 30 juta rakyat atau Institusi Perbankan dan Pinjaman Berlesen, serta keputusan itu mesti dilakukan sekarang, bukan segera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here