KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan penjualan vaksin Covid-19 di pasaran atau dalam talian.
Dalam hantarannya di Facebook, agensi itu memaklumkan vaksin dijual di pasaran berkemungkinan tiruan, palsu atau datang daripada sumber tidak sah yang diragui keselamatannya.
“Vaksin Covid-19 hanya dibekalkan oleh kerajaan menerusi Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Sebarang penjualan atau pembekalan vaksin melalui mana-mana medium lain termasuk secara dalam talian adalah tidak dibenarkan,” katanya.
KKM berharap orang ramai bersabar menunggu giliran bagi mendapatkan suntikan vaksin dan mendaftar giliran di aplikasi MySejahtera.


