SEBANYAK 2,082 syarikat melibatkan 301,050 pekerja sudah membuat permohonan untuk menyertai Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) setakat kelmarin.
Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Antrabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pihaknya melihat perjalanan operasi dan pengurusan serta sambutan kepada program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS amat memuaskan.
“Program ini yang mendapat sokongan penuh pemain industri akan memberi impak positif kepada produktiviti di tempat kerja, selain memberi jaminan perlindungan kesihatan,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Terdahulu beliau bersama Timbalan Menterinya, Datuk Lim Ban Hong membuat lawatan tapak ke PPV di bawah program PIKAS Covid-19 di Pengerang dan Johor Bahru.
Mohamed Azmin berkata di Johor saja sebanyak 255 syarikat telah berdaftar dengan program berkenaan melibatkan seramai 14,357 pekerja.
PIKAS adalah program vaksinasi yang mengutamakan pekerja dalam sektor pembuatan bertujuan melindungi pekerja daripada risiko jangkitan Covid-19 di premis perniagaan atau perkilangan.
Meskipun PIKAS berkonsepkan sukarela, MITI amat menggalakkan pemain industri turut serta bagi mengekang penularan Covid-19 di tempat kerja, seterusnya membantu kerajaan menyegerakan imunisasi bagi rakyat. – Malaysiapost

