Parlimen perlu bersidang selewat-lewatnya 2 Ogos

0
2

AHLI Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata Parlimen mesti bersidang tidak lewat dari 2 Ogos ini, bukan September ataupun Oktober seperti yang diumumkan kerajaan.

Beliau berkata, persidangan Parlimen penting untuk mengelak daripada berlakunya satu krisis Perlembagaan.

“Pada 15 Jun lalu, Tan Sri Muhyiddin ketika membentang ‘Pelan Pemulihan Negara’ menyatakan bahawa Parlimen boleh bersidang sewaktu Fasa 3 pelan tersebut, dijangka sekitar September atau Oktober 2021.

“Sementara, pada 16 Jun pula Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengulangi bahawa paling awal Parlimen boleh bersidang ialah September,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi berkata, beliau percaya kenyataan mereka ini dibuat atas beberapa perkiraan, termasuk jumlah kes Covid-19 serta lain-lain tanda aras.

“Namun ada satu tanda aras yang tidak diambil kira Perdana Menteri dan Menteri, iaitu darurat.

“Umum sedia maklum bahawa pendirian Raja-Raja Pemerintah dalam isu darurat seperti yang dinyatakan di dalam kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-raja ialah tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021,” katanya.

Pengarah Komunikasi PKR itu berkata, semua sudah sedia maklum bahawa hari ini merupakan hari ke-183 atau enam bulan 1 hari sejak berakhirnya sidang Parlimen terakhir, iaitu pada 17 Disember 2020.

“Ini bermaksud, kita hari ini berhadapan dengan pelanggaran Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkaan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.”

“Justeru, untuk mengatasi isu ini, Kerajaan menggunapakai Perkara 14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, iaitu: ‘Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, peruntukan yang berhubung dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan’,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya darurat berakhir pada 1 Ogos 2021, ini bermaksud Perkara 14(1)(a) tidak lagi terpakai kerana darurat sudah tidak berkuat kuasa.

“Maka Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan akan terpakai semula pada ketika itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Muhyiddin dan Takiyuddin untuk segera mendapatkan nasihat Peguam Negara dan menjelaskan kepada umum tentang perkara ini.

“Ia untuk mengelak dari mengelirukan orang ramai termasuk juga Ahli-ahli Parlimen. Lebih dari itu, memandangkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah telah bertitah agar Parlimen bersidang ‘secepat mungkin’.

“Memandangkan Parlimen adalah platform terbaik untuk mendengar masalah dan menyelesaikan isu rakyat, dan untuk mengelak dari berlakunya sebarang krisis Perlembagaan, Perdana Menteri mesti seawal hari ini mohon menghadap dan menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here