Polis tumpu periksa kilang

0
1

POLIS akan memberi tumpuan terhadap sektor perkilangan berikutan pertambahan kluster Covid-19 dalam sektor berkenaan sejak kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata penugasan itu akan dilakukan oleh anggota polis yang ditugaskan dalam operasi mengejut.

“Kita mahu selepas ini polis memberi lebih tumpuan untuk memeriksa kilang ini sama ada mereka mempunyai kelulusan untuk beroperasi atau tidak.

“Ini kerana ada laporan yang diterima, walaupun ada kilang yang dibenarkan untuk beroperasi, apabila kita siasat rupanya majikan memberi maklumat yang kurang tepat ketika memohon kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Sehingga kini sebanyak 201 kompaun dikeluarkan terhadap kilang dan premis perniagaan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Rangkuman Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Hamzah berkata sejak 14 Jun lalu, sebanyak 48,770 kilang dan premis perniagaan sudah diperiksa yang merangkumi 7,387 kilang dan 41,383 premis perniagaan.

“Dalam operasi yang dijalankan itu, sebanyak 201 kompaun dikeluarkan terhadap kilang dan premis perniagaan kerana melanggar SOP serta 21 tangkapan dibuat.

“Selain itu terdapat 63 kilang dan premis perniagaan diarahkan untuk ditutup. Tindakan penguatkuasaan oleh pasukan pematuhan SOP akan terus diperhebatkan bagi memastikan penularan Covid-19 dalam kalangan kluster perkilangan dapat dibendung.

“Bagi majikan yang melakukan kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang boleh dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 bagi kesalahan pertama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here