Agong boleh guna budi bicara panggil sidang Parlimen – Noh Omar

0
2

YANG di-Pertuan Agong dalam menjalankan fungsi di bawah Seksyen 14 Ordinan Darurat, boleh bertindak menurut budi bicaranya iaitu memanggil sidang Parlimen tanpa tertakluk kepada nasihat Kabinet.

Pandangan itu dilontarkan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Tan Sri Noh Omar yang bersetuju dengan pendapat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Perdana Menteri tidak boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong kerana melanggar Perkara 55 Perlembagaan.

Noh berkata jika Perlembagaan masih berkuat kuasa, artikel 55 mesti terpakai tetapi apabila ada Ordinan Darurat yang mengatasi Perlembagaan iaitu Seri Paduka Baginda boleh mengarahkan Parlimen bersidang tanpa nasihat Perdana Menteri.

“Kalau artikel 55 tidak terpakai maka artikel 40 juga tidak terpakai. Ringkasnya Ordinan Darurat yang dibuat menurut Artikel 150(2C) Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu Undang-Undang Persekutuan.

“Pada menjalankan fungsi YDPA di bawah Ordinan Darurat, YDPA tidak tertakluk di bawah Artikel 40 untuk bertindak menurut nasihat Kabinet.

“Tambahan pula Seksyen 14 Ordinan Darurat secara spesifik menggantung operasi Perlembagaan dalam hal memanggil atau memprorog atau menangguh sidang Parlimen. Kuasa itu diletakkan kepada YDPA,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Tengku Razaleigh berkata di bawah Perkara 55 Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab memanggil Parlimen dalam masa enam bulan daripada tarikh akhir persidangan Parlimen yang lalu.

“Jika tidak Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri telah melanggar Perlembagaan dan sumpah jawatan,” katanya.

Kelmarin, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here