Lagi kes telefon pelajar meletup?

0
2

BARU-baru ini tular beberapa kes telefon subsidi yang diterima menerusi program Jaringan Prihatin untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) terbakar ketika sedang digunakan.

Ini termasuk kejadian dilaporkan menimpa seorang murid berusia sembilan tahun yang telefonnya terbakar ketika mengikuti kelas dalam talian, Isnin lalu.

Kini kejadian sama dilaporkan berulang susulan perkongsian terbaharu oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman di laman Facebook miliknya hari ini.

Syed Saddiq berkongsi gambar daripada pengguna Twitter yang menunjukkan telefon meletup, didakwa ketika sedang dicas.

“Inilah yang jadi bila ada ahli politik ambil mudah dan beri telefon tak berkualiti kepada pelajar.

“Kes telefon meletup ni dah jadi dekat beberapa orang pelajar. Bahaya betul.

“Nak bandingkan ayam, sardin dan pendidikan pelajar lagi tak macam ni?Melampau sangat dah ni,” tulis Syed Saddiq.

Katanya lagi, ini bukan kali pertama berlaku kejadian seumpama itu dan ia bukan saja menyebabkan murid dan pelajar tidak dapat menyertai kelas secara dalam talian, malah membahayakan keselamatan mereka.

“Ahli politik jangan sombong dan terima kenyataan – beri telefon berkualiti kepada pelajar,” katanya.

Mengulas mengenai insiden tersebut baru-baru ini, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mempertahankan telefon pintar diberi secara percuma oleh Yayasan YTL itu adalah bersesuaian untuk PdPR.

Malah menurutnya, sumbangan itu telah membantu ribuan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan B40.

“Saya tidak pasti pula apa punca yang menyebabkan ada orang mempertikaikan sumbangan percuma ini. Ini sumbangan percuma oleh Yayasan YTL.

“Bila kita susah, orang sedekah apapun kita terima. Tiadalah nak demand… Masa kita tengah susah ini orang bagi ikan sardin, jadi ikan sardinlah kita makan… Tiadalah demand nak makan ayam pula.

“Jadi kita hendak memberitahu bahawa telefon pintar itu diberikan secara percuma dan kami menerimanya dan telahpun mengedarkan kepada pelajar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here