Poster ‘Parlimen perlu diadakan secepat mungkin’ apa maksudnya? – soal Zahida

0
2
zahida zarikh khan

KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan menyifatkan tindakan Istana Negara memuatnaik satu poster memaparkan petikan kenyataan Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen perlu diadakan secepat mungkin, mempunyai makna.

Zahida berkata, daripada apa yang difahaminya titah Seri Paduka Baginda bukanlah satu ‘pandangan’ biasa, tapi ia sepatutnya dibaca sebagai titah yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan segera.

“Pemimpin kerajaan diminta agar tidak memanipulasi kenyataan demi kepentingan sendiri. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

“Secepat mungkin bermaksud segera, bukan bulan hadapan atau tiga bulan lagi,” katanya menerusi Facebook.

Zahida berkata, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, sudah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

“Amat jelas, Tuanku begitu mengambil berat tentang situasi semasa negara berkenaan pemulihan ekonomi, pengurusan krisis covid 19 dan situasi politik yang tidak stabil.

“Namun yang mengecewakan apabila ada beberapa pemimpin kerajaan mengeluarkan kenyataan seolah-olah tidak faham atau tidak pandai tafsir apa yang Tuanku ingin sampaikan.

“Selepas dua hari, hari ini, sekali lagi laman Facebook Istana Negara memuat naik grafik kenyataan yang sama dikeluarkan oleh Istana tempoh hari. Apa maksudnya?,” katanya.

Hari ini, Istana Negara memuatnaik satu poster memaparkan petikan kenyataan Yang di-Pertuan Agong dua hari lalu bahawa Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Poster memaparkan gambar Al-Sultan Abdullah bersama petikan kenyataan itu dimuatnaik ketika polemik mengenai bila Parlimen perlu diadakan terus diperkatakan pelbagai pihak.

Bagaimanapun, difahamkan hantaran poster berkenaan sudah dipadamkan dalam Facebook Istana Negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here