Mesir sedia bantu Malaysia salur bantuan ke Palestin. – PM

0
1

MESIR menyatakan kesediaan membantu Malaysia bagi penyaluran bantuan kemanusiaan dan perubatan ke Palestin melalui sempadan Rafah yang merupakan satu-satunya pintu masuk menghubungkan ke Gaza.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu dinyatakan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi ketika perbincangan beliau bersama pemimpin itu melalui sidang video, semalam.

Katanya, perbincangan menerusi sidang video yang julung kali diadakan itu turut menyentuh mengenai isu serantau dan antarabangsa khususnya situasi terkini di Palestin.

“Malaysia memuji peranan konstruktif Mesir yang bertindak sebagai broker dalam perjanjian gencatan senjata antara Palestin dan Israel berkuat kuasa pada 21 Mei lalu.

“Dalam hal ini, saya telah membangkitkan mengenai prospek kerjasama Malaysia-Mesir berhubung penyaluran bantuan kemanusiaan dan perubatan Malaysia ke Palestin melalui sempadan Rafah yang merupakan satu-satunya pintu masuk yang menghubungkan Mesir dan Gaza.

“Alhamdulillah, Tuan Yang Terutama (TYT) Presiden menyatakan kesediaan Kerajaan Mesir membantu Malaysia bagi penyaluran bantuan kepada Palestin,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan perbincangan bersama Abdel Fattah antara lain memfokuskan kepada usaha untuk menyemarakkan semula hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia-Mesir terutama dalam konteks politik dan ekonomi.

Muhyiddin berkata, beliau mengambil inisiatif mengemukakan pandangan bahawa sudah tiba masanya Malaysia mengeratkan semula hubungan dengan Mesir di mana Abdel Fattah menyambut baik cadangan ini dan mengalu-alukan perbincangan melibatkan pemimpin tertinggi kedua-dua negara dapat dilakukan segera.

“Kami juga banyak menyentuh berkenaan isu-isu kepentingan bersama khususnya dalam memupuk kerjasama lebih meluas dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur.

“Mesir merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar di rantau Afrika Utara dengan nilai dagangan pada tahun lepas mencecah RM2.06 bilion.

“Sebagai antara negara pengimport minyak sawit Malaysia terbesar di Afrika, saya menggunakan kesempatan itu untuk menggalakkan Mesir agar bukan sahaja terus mengimport komoditi ini dari Malaysia malah meningkatkan jumlah import pada masa hadapan,” katanya.

Perdana Menteri memaklumkan beliau dan Presiden Mesir turut menyatakan kesediaan masing-masing untuk meningkatkan lagi kerjasama perdagangan Malaysia-Mesir pada masa hadapan.

Beliau juga mencadangkan agar kedua-dua negara menandatangani Comprehensive Economic Cooperation dan cadangan ini telah disambut baik oleh Abdel Fattah.

“Malaysia juga menyatakan penghargaan ke atas peluang-peluang pendidikan yang diberikan oleh Kerajaan Mesir kepada rakyat negara ini di mana buat masa ini terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang seperti pengajian Islam, perubatan dan pergigian di beberapa universiti di negara itu.

“Kami akhiri perbualan dengan saling mengundang untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing selepas pandemik Covid-19 berakhir,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here