
KERAJAAN harus menetapkan garis panduan dan spesifikasi minimum untuk sumbangan peranti pintar kepada pelajar untuk kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yangdilaksanakan ketika ini.
Pengarang Laman Sesawang Teknologi SoyaCincau, Alexander Wong, berkata telefon Yes Altitude 3 yang disumbangkan kepada 20,000 pelajar B40 di Perak baru-baru ini, hanya berkeupayaan untuk komunikasi asas sahaja.
Beliau berkata, ia termasuk panggilan telefon, penghantaran teks pesanan dan WhatsApp, namun pelajar memerlukan peranti bagi persidangan video menerusi kaedah pembelajaran PdPR.
“Layar telefon pintar itu bukan dalam definisi tinggi dan kapasiti bateri tidak memadai untuk standard hari ini,” katanya seperti dilapor MalayMail.
Beliau berkata, untuk tujuan itu ia memerlukan telefon pintar dengan dengan skrin sekurang-kurangnya 6 inci, RAM 3GB dan minimum penyimpanan 32 GB.
“Justeru, saya berpendapat lebih baik menyediakan tablet kerana ia mempunyai pilihan yang berpatutan dengan harga di bawah RM600,” katanya.
Sementara itu, Pengendali Laman Teknologi Amanz, Ikhwan Nazri Asran berkata, peranti pintar yang berprestasi rendah hanya akan menambah beban pelajar yang tiba-tiba terpaksa menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam talian susulan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, telefon pintar juga bukan pilihan terbaik untuk tujuan PdPR, serta mengesyorkan tablet atau Chromebook untuk urusan pembelajaran dalam talian.
“Ini kerana tablet dan Chromebook mempunyai skrin yang lebih besar, sambungan yang lebih baik dan juga jangka hayat bateri yang lebih lama.
“Harganya antara RM400 hingga RM700 dan didatangkan dari pengeluar mantap untuk memastikan kualiti dan prestasi telefon.
“Ia sekali gus memberi pilihan yang lebih baik kepada para pelajar, selain peranti itu dapat bertahan lebih lama untuk kegunaan persekolahan,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata pemberian telefon pintar yang berkualiti rendah secara percuma kepada pelajar B40 di negeri itu dipersetujui Mesyuarat Exco Kerajaan Perak.
Beliau berkata, Yayasan YTL telah datang berbincang dengan kerajaan negeri dan memberi taklimat di dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri mengenai peranti tersebut.
Menurut beliau, selepas penjelasan dibuat mengenai kualiti peranti berkenaan yang didatangkan dengan memori 1GB dan storan 8GB boleh digunakan untuk PdPR Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju menerima sumbangan tersebut.
“Mereka dah tunjuk sampel telefon itu. Dalam pengetahuan kita, ia mencukupi untuk PdPR dan digunakan secara meluas seluruh Malaysia. Tawaran itu secara percuma tanpa apa-apa bayaran,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
