Adakah kita menghadapi krisis perlembagaan?- Azalina

0
2
Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said mempertikaikan cara kerajaan menguruskan pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu berkaitan pentadbiran negara.

Beliau berkata, dekri diraja adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan dan Seri Paduka Baginda termasuk Majlis Raja-raja sudahpun bersetuju Parlimen dibuka untuk menjamin pentadbiran negara.

“Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja sepakat bersetuju bahawa kedaulatan parlimen menjamin urus tadbir yang baik,” katanya di Twitter hari ini.

Ahli Parlimen Pengerang itu turut membayangkan keperluan mendesak agar parlimen dibuka di sebalik pendirian asal kerajaan.

“Adakah kita menghadapi krisis perlembagaan?” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengadakan perbincangan khas dengan Raja-raja Melayu mengenai situasi semasa negara berhadapan dengan Covid-19 di Istana Negara.

Selepas pertemuan itu berakhir Agong menzahirkan pandangan, persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Majlis Raja-raja Melayu juga mengeluarkan kenyataan menyokong pendirian Agong yang menitahkan agar parlimen segera bersidang.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) , Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam reaksi yang membayangkan keengganan kerajaan membuka parlimen segera berhujah, kenyataan dibuat Agong itu tidak disertakan tarikh tertentu.

“Agong pun tidak menitahkan bulan berapa, tetapi secepat mungkin. PM kita kata pun bulan sembilan atau 10. Sekarang kita dah hampir penghujung bulan enam, bulan tujuh, lapan, sembilan pasti akan diadakan tu,” katanya.

Sementara, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun, pula berkata komitmen yang ditunjukkan Muhyiddin untuk membuka parlimen sekitar September atau Oktober adalah rasional. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here